Saya tak lagi terlibat dalam politik atau kerajaan, kata Farhash

Saya tak lagi terlibat dalam politik atau kerajaan, kata Farhash

Ahli perniagaan itu menjawab sindiran Ahli Parlimen PAS berhubung pemilikan saham miliknya.

Ahli perniagaan Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak muncul sebagai pemegang saham utama HeiTech Padu Bhd selepas memperoleh kepentingan tidak langsung sebanyak 15.9% (16.1 juta saham).
PETALING JAYA:
Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berkata beliau kini tidak lagi terlibat dalam politik dan pentadbiran kerajaan.

Farhash membuat kenyataan itu selepas seorang Ahli Parlimen PAS menyindir beliau susulan pemilikan sahamnya di sebuah syarikat penyedia perkhidmatan teknologi.

“Fokus penuh saya ketika ini adalah pada bidang perniagaan dan korporat,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Ahli Parlimen PAS Ahmad Fadhli Shaari ketika perbahasan di Dewan Rakyat mencadangkan peruntukan disediakan kepada pelajar bagi mendedahkan mereka dengan pengurusan kewangan.

“Pelajar universiti boleh dilatih untuk menjadi hebat seperti bekas setiausaha perdana menteri yang muncul sebagai pemegang saham utama dalam HeiTech Padu Bhd,” katanya yang merujuk kepada Farhash.

Minggu lalu, Farhash muncul sebagai pemegang saham utama syarikat itu selepas memperoleh kepentingan tidak langsung sebanyak 15.9% (16.1 juta saham) dalam penyedia perkhidmatan teknologi tersebut.

Farhash juga merupakan pengerusi dan pengarah beberapa syarikat, termasuk 7-Eleven Malaysia Holdings Bhd dan Apex Equity Holdings Bhd.

Farhash kemudian menjelaskan saham dipegangnya dalam HeiTech Padu Bhd adalah melalui Rosetta Partners Sdn Bhd, yang dimiliki bersama Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

“Pemilikan saham ini juga merupakan sebahagian daripada strategi pelaburan antara Sultan Muhammad V dan saya untuk membantu syarikat-syarikat Bumiputera,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.