Sasaran pendapatan syarikat teknologi RM1 bilion ‘mencabar tapi boleh dicapai’

Sasaran pendapatan syarikat teknologi RM1 bilion ‘mencabar tapi boleh dicapai’

FMM berkata kerajaan mesti memastikan mekanisme tersedia bagi membekalkan bakat kepada industri itu.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong berkata, kementerian menyasarkan 100 firma teknologi tempatan meraih pendapatan tahunan RM1 bilion menjelang 2030.
PETALING JAYA:
Sasaran kerajaan untuk 100 syarikat teknologi tempatan meraih hasil RM1 bilion menjelang 2030 adalah mencabar tetapi boleh dicapai jika usaha dilakukan, menurut pemain industri utama.

Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) berkata memfokuskan terhadap pengukuhan ekosistem teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) penting bagi menyokong pertumbuhan syarikat teknologi dalam mencapai sasaran ini.

“Menurut portal Bursa Malaysia, hanya lima daripada 118 syarikat teknologi yang disenaraikan telah mencapai hasil lebih RM1 bilion setakat ini,” kata Presiden FMM Soh Thian Lai kepada FMT.

“Sebagai tambahan untuk menyediakan bantuan kewangan, khidmat nasihat, dan panduan perniagaan, kerajaan patut melihat ke arah mengukuhkan ekosistem ICT serta kumpulan bakat.”

Soh berkata, kerajaan patut memfokuskan langkah khusus seperti membangunkan pembekal penyelesaian teknologi tempatan bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam inovasi teknologi.

“Kerajaan juga patut memupuk pembangunan bakat teknologi dengan mereka bentuk semula program pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) untuk pekerjaan berkemahiran tinggi.

“Ia juga patut mengukuhkan pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik bagi menghasilkan graduan kejuruteraan mencukupi dan cekap,” katanya.

Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) Syed Hussain Syed Husman juga berkata sasaran Miti boleh dicapai walaupun mencabar.

“Ini berdasarkan idea bahawa syarikat akan disokong kerajaan, yang turut akan terus menyokong PKS dalam penyelidikan, pembangunan dan inovasi,” katanya.

Syed Hussain berkata hasil kerja Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) di Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan, khususnya dalam bidang aeroangkasa dan kluster perkhidmatan global, akan memberi kesan terhadap bidang ini.

Sementara itu, pakar ekonomi Carmelo Ferlito berkata beliau masih “ragu-ragu” terhadap menetapkan sasaran kuantitatif dengan melihat kepada cabaran dihadapi firma dalam meramalkan pendapatan pada masa depan secara tepat.

“Sehubungan itu, agak tidak realistik untuk memikirkan kita benar-benar dapat menyasarkan industri tertentu untuk menghitung sebilangan peserta menjana sejumlah hasil tertentu.

“Sasarannya bukan terlalu besar atau terlalu kecil, cuma mustahil untuk ditentukan. Ekonomi merupakan organisma yang sering melalui evolusi dan perubahan, dan tidak bertindak balas dengan sasaran yang dirancang secara pusat,” kata CEO Pusat Pendidikan Pasaran itu.

Bagaimanapun katanya, komitmen untuk mewujudkan ekosistem sewajarnya supaya firma swasta berkembang maju adalah positif.

“Ini perlu diterjemahkan kepada dasar mencukupi yang dapat memanfaatkan keseluruhan ekonomi dan bukan sekadar sektor teknologi tinggi,” katanya.

Pada 12 Mac, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong berkata kementerian itu menyasarkan 100 firma teknologi tempatan mencapai pendapatan tahunan RM1 bilion menjelang 2030.

Liew berkata kerajaan akan terus menyokong syarikat tempatan menerusi penyelidikan dan pembangunan serta inovasi dengan menyediakan bantuan untuk PKS di seluruh negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.