Pengerusi MAIWP berdepan tindakan undang-undang

Pengerusi MAIWP berdepan tindakan undang-undang

Sebuah syarikat pembekal mahu menguatkuasakan perintah yang digarnis berhubung tuntutan hutang RM230,000 terhadap kontraktor MAIWP, Prasarana Selatan Sdn Bhd.

Surat tuntutan diserahkan kepada Pengerusi MAIWP, Syed Kamarulzaman Syed Kabeer pada 13 Mac, akan tamat tempoh esok. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pembekal bahan binaan mengancam mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) jika majlis itu enggan membayar hutang tertunggak RM222,093.72 seorang kontraktor yang diberi tugas membina sebuah masjid di Kuala Lumpur.

Peguam Latitude Resources Sdn Bhd, Omar Kutty Abdul Aziz, berkata surat tuntutan diserahkan kepada Pengerusi MAIWP, Syed Kamarulzaman Syed Kabeer pada 13 Mac akan tamat tempoh esok.

Syarikat itu juga menuntut kos guaman berjumlah RM8,000.

“Kami memberi MAIWP hingga esok (20 Mac) untuk membayar mengikut perintah yang digarnis atau kami akan meneruskan tindakan undang-undang,” katanya kepada FMT.

Salinan tuntutan yang dilihat FMT, juga dihantar kepada Kementerian Kewangan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Na’im Mokhtar.

Prosiding garnis itu difailkan terhadap MAIWP pada November 2021, selepas Prasarana Selatan Sdn Bhd, yang dilantik membina masjid di Sungai Besi dengan kos RM8.8 juta, enggan membayar atas penghakiman yang diperoleh pembekal tersebut tiga tahun sebelumnya.

Jumlah yang digarnis dituntut terhadap bon prestasi projek bernilai RM440,000 yang dipegang oleh MAIWP menunggu projek tersebut siap.

Perintah itu dikeluarkan Mahkamah Tinggi Johor Bahru selepas rayuan, apabila Mahkamah Sesyen menolak permohonan asal pada Jun 2022.

Pada Disember tahun lalu, MAIWP gagal mendapatkan kebenaran Mahkamah Rayuan untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.