GLC, GLIC tak dipaksa bawa pulang hasil asing, kukuhkan nilai ringgit

GLC, GLIC tak dipaksa bawa pulang hasil asing, kukuhkan nilai ringgit

Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan berkata kerajaan hanya menggalakkan GLC dan GLIC membawa pulang sebahagian keuntungan daripada pelaburan asing.

Menteri Kewangan Kedua Amir Hamzah Azizan berkata ringgit mengatasi mata wang serantau lain sejak kerajaan melaksanakan langkah koordinasi untuk membawa wang memasuki pasaran pertukaran wang asing.
KUALA LUMPUR:
Kerajaan tidak memaksa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) membawa pulang hasil daripada pelaburan asing untuk mengukuhkan nilai ringgit, kata Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan.

Sebaliknya kerajaan hanya menggalakkan syarikat berkenaan membawa pulang sebahagian keuntungan daripada pelaburan asing.

“Kerajaan tidak akan memaksa GLIC (dan GLC) membawa pulang dana atau (hasil daripada) pelaburan kerana boleh menjejaskan rakyat dan ekonomi,” katanya kepada Dewan Rakyat.

“Mereka hanya akan diminta berbuat demikian apabila terdapat keuntungan kepada pelaburan tersebut, dan kita telah melihat usaha bersepadu antara antara GLIC serta Bank Negara Malaysia (BNM) yang membuahkan hasil apabila dalam tempoh satu minggu lebih ini, nilai ringgit semakin mengukuh,” katanya.

Amir menjawab soalan Radzi Jidin (PN-Putrajaya) mengenai kesan penggunaan berterusan kerajaan terhadap pelaburan asing Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). KWSP merupakan sebuah GLIC.

Radzi mendakwa jika dana KWSP terus dibawa masuk untuk menyokong ringgit, apakah ini akan beri kesan terhadap kadar dividen serta keupayaannya mencari pelaburan di luar negara.

Amir yang juga bekas CEO KWSP berkata, KWSP akan mengimbangi semula portfolio pelaburannya secara berkala selaras dengan keperluan kerajaan. Menurutnya, pelaburan adalah berdasarkan penilaian menyeluruh termasuk semakan ke atas kadar pertukaran mata wang asing.

Terdahulu, Amir memberitahu Dewan Negara bahawa ringgit berada di tempat teratas berbanding sembilan mata wang serantau lain sejak kerajaan, BNM, GLC dan GLIC melaksanakan langkah koordinasi pada 26 Feb untuk membawa wang ke pasaran pertukaran asing.

“Ini termasuk menggalakkan GLIC dan GLC membawa pulang pendapatan pelaburan asing dan menukar pendapatan tersebut kepada ringgit dengan lebih konsisten,” katanya.

Ketaksimbangan penjualan diesel

Amir turut mendedahkan ketakimbangan dalam penjualan diesel berbanding kenderaan berkuasa diesel serta pertumbuhan ekonomi. Katanya, kadar diesel bersubsidi kini sebanyak RM2.15 seliter berbanding kadar pasaran RM3.43 seliter telah menyebabkan aktiviti penyeludupan berleluasa.

Katanya, ini jelas daripada peningkatan 70% dalam jualan diesel daripada 6.1 bilion liter pada 2019 kepada 10.8 bilion liter pada 2023. Jumlah kenderaan diesel cuma meningkat kurang 3%, dan keluaran dalam negara kasar hanya meningkat sekitar 20%.

Amir berkata, ketaktentuan terhadap harga minyak mentah dunia menyebabkan kerajaan membayar lebih banyak subsidi untuk memastikan harga kekal rendah. Harga purata minyak mentah global pada 2023 adalah USD82.12 setong, melebihi anggaran belanjawan 2023 sebanyak USD80 setong.

Menurutnya, faktor ini memaksa kerajaan menampung komitmen tambahan RM9 bilion berbanding anggaran asal untuk subsidi produk petroleum RM25.6 bilion dinyatakan dalam belanjawan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.