Stoking kalimah Allah: Jumpa komuniti Melayu-Islam, Pemuda Umno seru sayap MCA, DAP

Stoking kalimah Allah: Jumpa komuniti Melayu-Islam, Pemuda Umno seru sayap MCA, DAP

Akmal Saleh minta Pemuda MCA dan DAP bertemu komuniti Melayu-Islam untuk tahu perasaan mereka.

Ketua Pemuda Umno Akmal Saleh berkata isu penghinaan adalah isu semua rakyat. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pemuda Umno meminta sayap MCA dan DAP bertemu komuniti Melayu-Islam bagi mengetahui perasaan berhubung isu stoking tertera kalimah Allah yang dijual di sebuah rangkaian kedai serbaneka.

Ketuanya, Muhamad Akmal Saleh berkata Pemuda MCA dan DAP yang berada lebih 60 tahun patut faham bahawa kedudukan nama Allah dan kesuciannya “suatu isu yang tidak ada tolok bandingnya”.

“Maka isu penghinaan ini adalah isu semua rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Ketua Pemuda MCA Ling Tian Soon menggesa Akmal supaya bertenang dan tidak mengajak orang ramai memboikot KK Mart, yang telah memohon maaf dan menyesal atas kejadian itu.

Sebelum ini, Ketua Pemuda DAP Dr Kelvin Yii menggesa Pemuda Umno tidak keterlaluan mengancam untuk memboikot perniagaan kedai serbaneka itu, kerana ia akan memburukkan lagi ekonomi tempatan selain memecah-belahkan kaum.

Akmal berkata Pemuda Umno bertenang dalam isu ini serta mengambil jalan yang selaras undang-undang, dan mahu pertanggungjawaban dalam isu ini.

“Untuk kesalahan yang begitu serius ini, dengan kesan yang begitu besar, takkan pula satu permohonan maaf sudah menyelesaikan segala-galanya,” katanya.

Sebelum ini Pemuda Umno beri tempoh dua hari kepada pengurusan KK Super Mart untuk memasang kain rentang memohon maaf di semua 881 cawangannya.

Akmal dilaporkan memberi amaran Pemuda Umno akan memulakan boikot lebih kuat sekiranya pengurusan kedai serbaneka itu gagal mematuhi tuntutanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.