Kompleks PKNS Shah Alam tidak akan diroboh

Kompleks PKNS Shah Alam tidak akan diroboh

PKNS berkata tiada perancangan untuk merobohkan satu daripada mercu tanda di Shah Alam yang berusia 47 tahun itu.

Tular di media sosial sejak Sabtu lalu mendakwa Kompleks PKNS Shah Alam akan dirobohkan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Kompleks PKNS Shah Alam yang berusia 47 tahun tidak akan dirobohkan seperti tular di media sosial.

Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dalam kenyataan menegaskan mereka tiada perancangan merobohkan salah satu mercu tanda di Shah Alam itu.

“Ia memainkan peranan penting dalam menyediakan perkhidmatan perniagaan dan kemudahan kepada penduduk sekitar,” katanya.

Kenyataan itu turut menyebut PKNS juga akan membuat laporan polis dan melaporkan kepada Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia berkenaan penyebaran berita palsu itu.

Sejak Sabtu lalu, tular di media sosial dakwaan Kompleks PKNS, Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), dan SACC Mall yang terletak di Seksyen 14, Shah Alam akan dirobohkan.

Seorang pengguna aplikasi X yang mendakwa perkara itu turut memuat naik tangkap layar projek pembangunan semula berkenaan termasuk pembinaan kondominium.

Mengulas lanjut, PKNS berkata perancangan projek di dalam kawasan pembangunan miliknya di pusat bandar Shah Alam itu sebahagian daripada usaha peremajaan bandaraya terbabit yang dijangka bermula suku ketiga tahun ini.

“Projek yang menelan belanja kira-kira RM2 bilion itu akan membabitkan beberapa plot kawasan di pusat bandar Seksyen 14 termasuk SACC Mall dan Pusat Konvensyen SACC di mana dari peringkat awal projek ia sama sekali tidak membabitkan bangunan Kompleks PKNS.

“Sebaliknya, kawasan ini akan dinaik taraf bagi menyediakan kemudahan yang lebih baik dan selesa serta memberikan pengalaman lebih memuaskan kepada pengunjung dan komuniti setempat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.