
Hassan Karim (PH- Pasir Gudang) berkata, kerajaan seharusnya mengadakan sesi libat urus dengan semua pihak berikutan RUU itu sangat penting kepada keselamatan dan kedaulatan negara.
“Saya cadangkan tangguh dulu. Jangan terus kita undi petang ini.
“Kita galakkan perbahasan dan perbincangan awam dalam kalangan badan bukan kerajaan (NGO), penjawat awam, universiti, pakar-pakar dan libatkan veteran tentera dan veteran polis,” katanya ketika perbahasan RUU itu di Dewan Rakyat.
Seramai 11 Ahli Parlimen membahaskan pindaan RUU itu.
RUU itu dibentangkan bagi bacaan kedua dan ketiga, dibacakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said.
Sementara itu, Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) setuju cadangan Hassan untuk kerajaan menangguhkannya sebelum diluluskan.
Katanya, lebih baik RUU itu dibawa semula kepada Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Dewan Rakyat.
“Mana relevan jika nak hentikan (tuntutan Sulu). Apa jaminan tidak ada lagi tuntutan Sulu,” katanya.
Kebanyakan Ahli Parlimen pembangkang turut setuju dengan cadangan Hassan.
RUU Kekebalan Bidang Kuasa Asing 2023 dibentangkan di Dewan Rakyat November tahun lalu.
Ia antara lain bertujuan mengawal selia kekebalan yang diberi kepada sesebuah negara asing dan hartanya, ketua negara dan ketua kerajaan daripada bidang kuasa mahkamah Malaysia.