Jangan takut, polis ‘pujuk’ doktor pelatih diganggu seksual buat laporan

Jangan takut, polis ‘pujuk’ doktor pelatih diganggu seksual buat laporan

Ketua Polis Ipoh Yahaya Hassan merujuk dakwaan gangguan seksual dilakukan seorang doktor berkhidmat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Ketua Polis Ipoh Yahaya Hassan memberi jaminan identiti mereka yang didakwa menjadi mangsa tidak akan dibocorkan. (Gambar Bernama)
IPOH:
Polis meminta doktor pelatih yang mendakwa diganggu secara seksual oleh seorang doktor di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) tampil membuat laporan.

Ketua Polis Ipoh, Yahaya Hassan, berkata tindakan itu bagi memastikan kes dapat disiasat dengan telus dan berlandaskan perundangan.

“Setakat ini kita belum terima sebarang laporan daripada mana-mana individu sama ada penulis surat layang atau doktor-doktor pelatih yang mendakwa diganggu secara seksual.

“Pihak polis menggesa mereka tampil buat laporan di mana-mana balai polis. Tindakan ini lebih wajar dilakukan daripada menularkannya di media sosial,” katanya kepada Bernama.

Yahaya berkata, pihaknya turut memberi jaminan maklumat diri individu yang membuat laporan akan dirahsiakan.

“Tak perlu khuatir, tak perlu takut. Kita beri jaminan bahawa apa sahaja maklumat berhubung diri mereka yang didakwa menjadi mangsa kita tidak akan bocorkan kepada mana-mana pihak,” katanya.

Pada 16 Mac, Yahaya dalam kenyataan mengesahkan menerima laporan daripada seorang doktor lelaki berusia 43 tahun yang didakwa terlibat dalam kes gangguan seksual dan ugutan terhadap doktor pelatih di HRPB.

Terdahulu, tular surat layang dimuat naik di Facebook dan aplikasi X yang mendakwa doktor terbabit sering melakukan gangguan seksual terhadap doktor pelatih wanita khususnya di Jabatan Ortopedik, selain mengugut untuk memanjangkan tempoh latihan mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.