Fadillah nafi kerajaan tawar CSA kepada pembangkang

Fadillah nafi kerajaan tawar CSA kepada pembangkang

Jumaat lalu, Ahli Parlimen Ketereh Khlir Mohd Nor mendakwa kerajaan "menawarkan" perjanjian keyakinan dan perbekalan (CSA) kepada pembangkang.

Fadillah Yusof diberi tanggungjawab mewakili kerajaan berunding dengan pembangkang berhubung peruntukan untuk wakil rakyat mereka. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof menafikan dakwaan kerajaan “menawarkan” perjanjian keyakinan dan perbekalan (CSA) kepada pembangkang, didakwa Ahli Parlimen Ketereh Khlir Mohd Nor.

“Tiada. Setahu saya belum ada perjumpaan pun,” kata Fadillah dalam mesej menerusi WhatsApp kepada FMT mengulas dakwaan wakil rakyat Bersatu itu.

Fadillah sebelum ini diberi tanggungjawab berunding dengan pembangkang berhubung peruntukan untuk wakil rakyat mereka, namun Perikatan Nasional (PN) menghentikan rundingan pada November tahun lalu kerana mendakwa kerajaan meminta jaminan tertentu.

Jumaat lalu, Khlir dilaporkan Utusan Malaysia mendakwa kerajaan menawarkan CSA kepada Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin sebagai balasan untuk peruntukan bagi kawasan yang dikuasai PN.

Katanya, pembangkang tiada masalah jika dokumen itu ditandatangani tanpa syarat namun mempersoalkan sekiranya membabitkan jaminan tertentu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Hulu Terengganu Rosol Wahid dilaporkan Sinar Harian hari ini mendakwa ada dua syarat dikenakan menyebabkan Bersatu dan PAS menolak CSA berkenaan.

Dakwanya, syaratnya ialah pembangkang tidak boleh mengacau atau mengganggu-gugat sebarang usaha kerajaan sehingga PRU16 dan sesiapa yang melanggarnya akan didakwa di mahkamah.

November lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata beliau tidak pernah menghalang atau meletakkan syarat ketat dalam soal pemberian peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang.

Beliau mahu peraturan dihormati iaitu Ahli Parlimen pembangkang perlu berunding bersama Fadillah terlebih dahulu berhubung peruntukan pembangunan kawasan.

Setakat ini, enam Ahli Parlimen Bersatu bertindak mengalihkan sokongan kepada Anwar dengan alasan memastikan nasib dan pembangunan penduduk di kawasan masing-masing terbela.

Mereka adalah Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), dan Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Pada 13 Sept 2021, kerajaan pusat dan Pakatan Harapan (PH) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik.

Ketika itu, PH dalam blok pembangkang dengan perjanjian dimeterai ketika Ismail Sabri Yaakob menjadi perdana menteri

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.