Culik, pukul remaja, polis tahan 3 lelaki

Culik, pukul remaja, polis tahan 3 lelaki

Dalam kejadian itu suspek menarik mangsa masuk dalam but kereta sebelum dibawa ke sebuah rumah dan dipukul.

Tangkap layar video tular menunjukkan sekumpulan lelaki memukul seorang remaja sebelum menarik mangsa masuk dalam but kereta di sebuah taman perumahan di Kota Masai, Johor.
PETALING JAYA:
Polis menahan tiga lelaki yang disyaki terbabit dalam satu kes menculik dan memukul seorang remaja lelaki hingga cedera di sebuah taman perumahan di Kota Masai, Johor semalam.

Ketua Polis Seri Alam, Sohaimi Ishak berkata kejadian itu yang tular di facebook menunjukkan mangsa yang berusia 17 tahun dipukul dengan topi keledar oleh sekumpulan lelaki.

“Mangsa kemudiannya ditarik masuk ke dalam but kereta jenis Proton Satria sebelum dibawa pergi dari lokasi kejadian.

“Suspek membawa remaja itu ke sebuah rumah di kawasan berhampiran dan mangsa dipukul dengan cota serta beberapa objek lain,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di pipi kanan, leher, bahu dan belakang badan serta pendarahan di telinga kiri.

Sohaimi berkata, susulan kejadian itu polis menahan tiga suspek berumur lingkungan 15 hingga 37 tahun di lokasi berasingan di Pasir Gudang.

“Seorang suspek mempunyai 26 rekod jenayah lampau dan hasil ujian saringan awal air kencingnya menunjukkan positif dadah. Polis juga masih mengesan beberapa lagi suspek yang masih bebas,” katanya yang memberitahu motif kejadian masih dalam siasatan.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan iaitu menculik, Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu memiliki senjata dalam rusuhan dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan dengan senjata.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.