Saya pinda pernyataan kepada SPRM untuk betulkan keadaan, kata saksi

Saya pinda pernyataan kepada SPRM untuk betulkan keadaan, kata saksi

Ahli perniagaan Zarul Ahmad Zulkifli berkata, beliau tidak menyebut nama Lim Guan Eng dalam pernyataan asalnya pada 2018.

Lim Guan sedang dibicarakan atas tuduhan menggunakan kedudukannya sebagai ketua menteri Pulau Pinang untuk meminta suapan dan menerima sogokan berkait projek terowong dasar laut. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Seorang saksi penting dalam perbicaraan rasuah terowong dasar laut membabitkan Lim Guan Eng berkata, beliau meminda pernyataan yang diberikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2018 dalam satu siasatan berasingan kerana mahu “membetulkan keadaan”.

Ahli perniagaan Zarul Ahmad Zulkifli mengakui, pada mulanya beliau tidak menyebut nama Lim dalam keterangan yang diberikan kepada SPRM berhubung siasatan terhadap seorang lagi ahli perniagaan, G Gnanaraja, membabitkan penipuan.

Bagaimanapun, Zarul memberitahu Mahkamah Sesyen hari ini, beliau kemudiannya memberitahu pegawai penyiasat SPRM bahawa beliau mahu meminda pernyataannya pada 2018 apabila mereka merakam satu lagi pernyataan daripadanya pada 9 Dis 2019.

Katanya, beliau mahu meminda pernyataan sebelum ini selepas membaca pernyataan saksi yang dikemukakan di mahkamah oleh rakan sekerjanya, Ibrahim Sahari, dalam kes penipuan membabitkan Gnanaraja di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

“Pada masa itu, kelima-lima kami (yang dipanggil memberikan pernyataan) diletakkan dalam bilik saksi. Pernyataan (Ibrahim) berada di atas meja dan saya membacanya,” kata Zarul apabila disoal RSN Rayer, peguam mewakili Lim.

Bagaimanapun, Zarul berkata, beliau tidak diminta memberikan pernyataan sebagai saksi dalam perbicaraan kes Gnanaraja

Rayer kemudian bertanya kepada Zarul mengapa beliau mengubah pernyataannya selepas lebih setahun ia dirakam pada 2018.

“Dari 19 Jan hingga 5 Sept 2018, anda memberitahu SPRM bahawa wang itu (RM19 juta) telah diserahkan kepada Gnanaraja supaya dia (Gnanaraja) boleh membantu anda ‘menyelesaikan’ kes pengubahan wang haram dan mendekati bekas perdana menteri Najib Razak,” kata peguam itu kepada Zarul.

Zarul membalas: “Saya mahu betulkan keadaan.”

Rayer: Disebabkan (pernyataan Ibrahim), anda nafikan apa yang diberitahu kepada SPRM setahun sebelumnya?

Zarul: Ya.

Ahli perniagaan itu juga berkata, siasatan SPRM yang berlarutan dan penahanannya selepas itu memburukkan keresahannya, sehingga pada suatu ketika beliau tidak keluar rumah selama dua bulan.

Apabila ditanya oleh Rayer mengapa beliau direman, Zarul menjawab, ia berkait siasatan SPRM berhubung projek terowong dasar laut.

Bagaimanapun, sepanjang siasatan, katanya, SPRM tidak pernah mengarahkannya mengisytiharkan harta, malah notis bagi pembekuan asetnya juga tidak dikeluarkan.

Perbicaraan bersambung pada 1 April di hadapan hakim Azura Alwi.

Lim sedang dibicarakan atas tuduhan menggunakan kedudukannya sebagai ketua menteri Pulau Pinang ketika itu untuk meminta suapan daripada Zarul sebanyak 10% daripada keuntungan projek terowong itu, dan menerima sogokan sejumlah RM3.3 juta daripada ahli perniagaan itu antara 2011 dan 2017.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.