
PETALING JAYA: Polis menahan seorang lelaki warga Myanmar kerana disyaki menyimbah petrol dan membakar seorang wanita Rohingya pada Sabtu lepas.
Ketua Polis Cheras Zam Halim Jamaluddin memberitahu FMT, lelaki berusia 36 tahun itu ditangkap di Cheras dan majistret membenarkan suspek direman selama tujuh hari.
Seorang lagi suspek yang juga warga Myanmar masih lagi diburu.
Polis berkata mangsa disimbah dengan petrol sebelum dibakar dua lelaki tersebut di padang permainan Kampung Cheras Baru.
Menurut polis, terdahulu wanita itu dipercayai membeli petrol dalam botol untuk dua lelaki tersebut.
Mangsa yang mengalami kebakaran 30% pada muka dan badan, masih mendapat rawatan di sebuah hospital.
Anaknya yang berada dilokasi kejadian hanya mengalami kecederaan ringan.