
Dalam surat kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang dilihat FMT, Dodds juga berkata pendapatan dan peluang pekerjaan adalah antara “manfaat ekonomi yang berimpak dan berpanjangan” akan dibawa oleh perlumbaan itu.
Beliau berkata, acara itu boleh menyumbang RM6.73 bilion kepada ekonomi negara dalam tempoh sedekad akan datang dan juga dijangka memberi impak berterusan.
“Selain keuntungan kewangan langsung, perlumbaan itu bersedia untuk merangsang pelaburan dalam infrastruktur mampan, mencipta warisan inovasi dan kemajuan teknologi hijau,” katanya dalam salinan surat kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing.
Dodds juga mendakwa, Formula E 2024 menerima “kejayaan besar dan jangkauan” di beberapa lokasi termasuk Sao Paulo, Monaco, Tokyo dan Shanghai.
Beliau berkata, Kuala Lumpur menonjol sebagai “lokasi yang sempurna dan strategik” untuk final 2025 atas beberapa sebab, termasuk “kepimpinan berwawasan perdana menteri dalam penggunaan EV (kenderaan elektrik)” dan “pendirian proaktif mengenai kelestarian” pentadbirannya.
Kuala Lumpur juga merupakan “pusat bandar yang diiktiraf secara global”, katanya.

Dodds berkata, Kuala Lumpur juga “kukuh dari segi logistik” bagi peminat yang melancong untuk menghadiri perlumbaan dan memudahkan pengangkutan kereta lumba Formula E ke Malaysia.
“Tambahan pula, Malaysia mempunyai infrastruktur sedia ada untuk menganjurkan acara ini,” katanya sambil memetik reka bentuk litar trek dan aset infrastruktur pusat bandar raya Kuala Lumpur, antara lain.
Semalam, FMT melaporkan Malaysia mungkin ketinggalan dalam saingan dengan Thailand untuk menjadi tuan rumah acara itu.
Turut dilaporkan bahawa Formula E mempelawa Kuala Lumpur menjadi penganjur finalnya setiap tahun hingga 2030.
Rakan kongsi tempatannya, Sports Tech Holding, mengesahkan sedang menunggu maklum balas daripada Pejabat Perdana Menteri untuk membincangkan penganjuran acara itu.
Formula E, secara rasmi dikenali sebagai Kejohanan Dunia Formula E ABB FIA, ialah pertandingan sukan permotoran kereta lumba elektrik tempat duduk tunggal.