
Beliau berkata demikian selepas tular beberapa barangan di bazar Ramadan Taman Tun Dr Ismail (TTDI) yang dijual dengan mahal.
“Satu kes di bazar Ramadan TTDI apabila buat pemantauan memang ada harga karipap tinggi. Namun, akhirnya balik kepada pengguna untuk buat pilihan kerana di bazar TTDI masih ada karipap dijual harga jauh lebih rendah,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan tambahan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) yang ingin tahu status Ops Pantau di bazar Ramadan seluruh negara selepas mendapati ada penjual yang menaikkan harga barangan.
Dalam pada itu, Armizan meminta orang ramai membuat aduan yang spesifik supaya pemeriksaan di lokasi dinyatakan dapat dijalankan.
Katanya, tindakan itu lebih baik daripada menularkan harga barangan tersebut.
Menurutnya, dalam tempoh dua hari Ops Pantau sebanyak 3,009 pemeriksaan premis dijalankan dan 11 kes dibuka siasatan.
“Enam kes melibatkan pencatutan. Kita keluarkan notis peniaga tersebut untuk menjawab beri maklum balas tentang harga ditawarkan,” katanya.