Simpan kepala dan daging kijang, lelaki didenda RM1,000

Simpan kepala dan daging kijang, lelaki didenda RM1,000

Mohd Rosli Amat mengaku bersalah terhadap pertuduhan menyimpan kepala dan daging kijang seberat 1.4kg tanpa lesen.

Hakim memerintahkan tertuduh dipenjarakan sebulan, jika gagal membayar denda RM1,000. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki didenda RM1,000 oleh Mahkamah Sesyen Seremban selepas mengaku bersalah menyimpan kepala dan daging kijang tiga tahun lalu.

Harian Metro melaporkan Mohd Rosli Amat, 53, yang bekerja sendiri membuat pengakuan itu di depan Hakim Mazni Nawi, selepas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, Rosli didapati menyimpan kepala dan daging kijang (Muntiacus muntjac) seberat 1.4kg, iaitu hidupan liar yang dilindungi bawah Jadual Pertama Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] tanpa lesen.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah kediaman tidak bernombor di Kampung Paya Renggoh Johol, Kuala Pilah pada 10.45 pagi Mac 2021.

Dia didakwa mengikut Seksyen 60(1)(a) Akta 716 dan boleh dihukum bawah Seksyen 60(1) akta sama, yang memperuntukkan denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Gilmoore G Bolongon memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat ke atas tertuduh.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam mengemukakan rayuan bertulis, sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM1,000 dan boleh dipenjarakan sebulan, jika gagal membayarnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.