Siasatan polis terhadap Teo sekat kebebasan akademik, kata NGO

Siasatan polis terhadap Teo sekat kebebasan akademik, kata NGO

Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia tidak bersetuju dengan pandangan Teo Kok Seong tetapi berkata beliau tidak sepatutnya disiasat.

Ahli Akademik Teo Kok Seong disiasat kerana mengatakan sekolah vernakular adalah penghalang kepada perpaduan negara. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (Gerak) mengkritik siasatan polis terhadap ahli akademik Teo Kok Seong berhubung kenyataan mengenai sekolah vernakular, dengan mengatakan ia menyekat kebebasan akademik dan tidak menggalakkan wacana intelektual.

Gerak berkata, ia tidak bersetuju dengan kenyataan Teo tetapi beliau mempunyai hak untuk menyuarakan pandangannya, sambil menambah sebarang percanggahan pendapat dengan kenyataannya harus dipertikaikan secara rasional, bukan melalui laporan polis.

Kumpulan itu juga menyatakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyeru sekolah dan universiti memupuk serta menerapkan pemikiran kritis dengan membahaskan isu secara intelektual.

“Kami mendukung perlunya menjunjung tinggi kebebasan akademik di negara ini dan tidak membisukan pandangan yang berbeza hanya kerana alasan politik atau terdapat pihak-pihak lain tidak setuju dengan pandangan tersebut. Justeru, Gerak mengecam siasatan terang-terangan terhadap Teo,” katanya dalam kenyataan.

Gerak juga mengulangi kepercayaannya bahawa sekolah vernakular tidak boleh dipersalahkan kerana perpecahan, sambil berkata ia menawarkan peluang lebih besar untuk memupuk persefahaman antara kaum melalui dialog.

Ia berkata, masalahnya ialah isu itu dipolarisasi oleh sistem politik berasaskan kaum di Malaysia dan ahli politik menggunakannya untuk menarik sokongan.

“Hak Teo untuk menyuarakan pandangannya terhadap sekolah-sekolah vernakular atau masyarakat Cina secara umum adalah hak prerogatifnya sebagai seorang cendekiawan. Haknya untuk menyuarakan pendapat alternatif kerana dia adalah manusia yang berfikir harus dirayakan, bukan dikutuk.

“Penghormatan terhadap kebebasan akademik sangat penting untuk membangun masyarakat yang kohesi dan masyarakat yang berpengetahuan luas serta matang secara intelektual,” katanya.

Pada Isnin, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata Teo sedang disiasat kerana didakwa mengatakan sekolah vernakular menjadi penghalang kepada perpaduan negara.

Siasatan itu dikritik bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang P Ramasamy dan bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim yang berkata ia boleh meningkatkan ketegangan kaum di negara ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.