Tinggal 375 bangunan daif di sekolah belum siap baik pulih

Tinggal 375 bangunan daif di sekolah belum siap baik pulih

Sebanyak 694 bangunan di sekolah selesai baik pulih dalam projek membabitkan 1,069 buah sejak 2016.

Timbalan Menteri Wong Kah Woh berkata 159 projek baik pulih bangunan daif di sekolah masih dalam pembinaan manakala 216 lagi di peringkat pra-pembinaan.
PETALING JAYA:
Berbaki 375 bangunan daif di sekolah belum siap dibaik pulih dalam projek membabitkan 1,069 buah, menurut Kementerian Pendidikan.

Timbalan Menteri Wong Kah Woh berkata sebanyak 694 bangunan siap dibaik pulih dalam projek yang berjalan sejak 2016 itu.

“Masih dalam pembinaan 159 projek dan pra-bina berjumlah 216,” katanya menjawab pertanyaan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) di Dewan Rakyat, yang membangkitkan jumlah bangunan daif di sekolah yang dilaporkan dalam prosiding Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Pengerusi PAC Mas Ermieyati Samsudin pada Khamis mengumumkan ia akan membentangkan laporan membabitkan pelbagai agensi yang disentuh dalam Laporan Ketua Audit Negara, pada sidang Dewan Rakyat kali ini, antaranya laporan membabitkan Lembaga Laporan Pengurusan Naik Taraf dan Pembangunan Semula Bangunan Daif di Sekolah.

Kementerian Pendidikan dalam kenyataan pada 14 Feb tahun lepas memaklumkan sebanyak 830 sekolah yang kebanyakannya terletak di Sabah dan Sarawak dikenal pasti mempunyai bangunan daif dalam kategori bangunan berskala ‘enam’ dan ‘tujuh’.

‘Skala enam’ merujuk kepada bangunan yang tidak selamat dengan pengesahan dilakukan oleh Pejabat Pendidikan Daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri; manakala ‘skala tujuh’ merujuk kepada bangunan tidak selamat dengan pengesahan daripada Jabatan Kerja Raya.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata pentadbirannya akan memastikan semua sekolah bawah tanggungjawab kerajaan diperbaiki mulai Belanjawan 2023, yang dibentangkan pada Februari tahun lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.