Sekolah Cina dianggap janji masa depan cerah

Sekolah Cina dianggap janji masa depan cerah

Segelintir ibu bapa berpendapat, sekolah Cina lebih bagus dalam memupuk perpaduan dan menyediakan persekitaran pembelajaran lebih kondusif.

Di sekolah Cina, anak-anak dapat belajar bahasa Mandarin serta lebih banyak bergaul dengan komuniti lain, menurut seorang ibu yang menghantar anaknya ke sekolah Cina. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Penjawat awam Hazal Talib menghantar anak perempuannya ke sekolah Cina atas satu sebab – agar dia dapat fasih berbahasa Mandarin, yang diyakininya digunakan secara meluas di seluruh dunia.

Bagaimanapun, katanya, matlamatnya memasukkan anaknya ke SJKC lebih daripada sekadar belajar bahasa kedua paling popular di dunia itu.

Ibu empat anak itu percaya sekolah Cina lebih bagus berbanding sekolah kebangsaan dalam memupuk perpaduan.

“Saya rasa lebih baik masukkan anak ke sekolah aliran alternatif supaya mereka dapat mengenali kanak-kanak daripada komuniti lain dengan lebih baik (menerusi interaksi harian),” katanya.

Hazal Talib.

Tiga lagi anak Hazal menghadiri sekolah kebangsaan dan beliau mendapati sekolah Cina mempunyai kemudahan yang lebih baik berbanding kebanyakan sekolah kebangsaan. Sekolah Cina yang dihadiri anak perempuannya mempunyai stadium tertutup dan bilik darjah berhawa dingin.

Hazal turut tertarik dengan persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) SJKC yang aktif dalam mewujudkan persekitaran kondusif untuk murid.

Kelebihan sekolah-sekolah Cina ini turut dihargai oleh Ahli Parlimen Bukit Bendera Syerleena Abdul Rashid daripada DAP yang sebelum ini berkata, sesetengah ibu bapa keberatan menghantar anak ke sekolah kebangsaan disebabkan prasarana yang buruk, kekurangan guru dan sumber yang tidak mencukupi.

Hazal adalah antara ramai ibu bapa bukan berbangsa Cina yang menghantar anak mereka ke sekolah Cina, topik yang baru-baru ini kembali menjadi perhatian selepas seorang Ahli Parlimen mempersoalkan kelangsungannya memandangkan kadar kelahiran semakin rendah dalam komuniti Cina.

Pada 2021, Majlis Bahasa Cina Malaysia berkata, lebih 20% murid di SJKC terdiri daripada golongan bukan Cina.

Desonny Tuzan.

Seorang bapa, Desonny Tuzan berkata, beliau menghantar ketiga-tiga anaknya ke sekolah rendah Cina sebelum ke sekolah menengah kebangsaan.

“Dengan cara ini, mereka faham dan melalui dua bahagian (sistem pendidikan) dan integrasi,” katanya.

Walaupun tidak setuju dengan hukuman dera yang dikenakan di sekolah – salah seorang anak perempuannya ditampar oleh guru disebabkan pembentangan PowerPoint – disiplin di sekolah-sekolah ini “terbaik”, katanya.

“(Sekolah Cina) ada baik dan buruknya. Ibu bapa perlu menilai sama ada anak mereka dapat ikut rentak sekolah Cina atau sebaliknya.”

Alasan kedua-dua ibu dan bapa ini menghantar anak mereka ke sekolah Cina juga sepadan dengan kenyataan Timbalan Ketua Menteri Sabah Shahelmey Yahya sebulan lepas.

Beliau berkata, lebih ramai masyarakat Bumiputera di Sabah menghantar anak mereka ke SJKC kerana menyedari keperluan menguasai bahasa lain selain Bahasa Melayu dan Inggeris. Trend itu, katanya, akan mengukuhkan perpaduan negara.

Bagaimanapun, Ketua Pemuda Umno Akmal Saleh sebaliknya berpendapat, sekolah-sekolah vernakular memudaratkan hubungan kaum.

Mendakwa kewujudan sekolah-sekolah ini menyebabkan rakyat Malaysia terasing antara satu sama lain pada usia muda, beliau menggesa penubuhan sistem persekolahan tunggal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.