PAS ambil kerusi Kapar dari Bersatu, dakwa Adun Selat Klang

PAS ambil kerusi Kapar dari Bersatu, dakwa Adun Selat Klang

Abdul Rashid Asari mendakwa ada percaturan politik dalam Bersatu sehingga parti hilang kerusi Parlimen itu.

Adun Selat Klang Abdul Rashid Asari, berkata PAS mengambil kerusi itu dari Bersatu dan tidak mempedulikan perjanjian antara parti komponen PN. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Adun Selat Klang Abdul Rashid Asari mendakwa kerusi Parlimen Kapar di Selangor milik Bersatu telah diambil PAS pada PRU15.

Rashid berkata, PAS mengambil kerusi itu pada mesyuarat terakhir agihan kerusi dan tidak mempedulikan perjanjian antara parti komponen Perikatan Nasional (PN). Dalam perjanjian itu kerusi Parlimen Kapar diperuntukan kepada Bersatu.

“Dalam mesyuarat itu tiada siapa yang mempedulikan hujah-hujah saya dan mereka mengambil keputusan drastik tanpa memikirkan Bersatu sepatutnya diberi peluang bertanding di Kapar,” katanya pada sidang media.

“Saya cuba sedaya upaya untuk mempertahankan Kapar daripada diagihkan kepada PAS kerana sudah pasti dalam PRU akan datang dan sampai bila-bila PAS akan menuntut kerusi itu, dan Bersatu akan kehilangan kerusi yang berharga dan selamat.”

Bekas ketua Bersatu Selangor itu juga mendakwa berlaku percaturan politik dalam pengagihan kerusi bagi PRU Nov 2022 itu, antara punca utama beliau mengambil keputusan menyokong Menteri Besar Amirudin Shari baru-baru ini.

Dalam PRU15, kerusi Parlimen Kapar dimenangi Dr Halimah Ali dari PAS yang bertanding atas tiket PN. Beliau menewaskan Abdullah Sani dari Pakatan Harapan dalam saingan tujuh penjuru dengan majoriti hampir 12,000.

Sebelum itu, Rashid dilaporkan mendakwa Bersatu Selangor dikawal kartel, dipimpin individu yang “baru sehari dua” menyertai parti itu sebelum PRN Ogos lalu.

Katanya, itu adalah antara punca beliau memutuskan untuk menyokong Amirudin.

Dalam sidang media sama, Rashid berkata kedudukannya sebagai Adun tidak terjejas kerana pindaan perlembagaan Bersatu masih menunggu kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan.

“Pada pendapat saya, keputusan Bersatu untuk meminda perlembagaan adalah untuk masa depan dan keselamatan Bersatu. Pindaan itu tidak terpakai kepada sesiapa (yang beralih sokongan) sebelum itu (berkuat kuasa),” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.