Kerajaan perluas skop pengecualian cukai perkhidmatan sektor logistik

Kerajaan perluas skop pengecualian cukai perkhidmatan sektor logistik

Cukai perkhidmatan 6% bagi sektor logistik hanya akan dikenakan mulai 1 April.

Sebelum ini, kerajaan beri pengecualian cukai perkhidmatan untuk perkhidmatan logistik bagi barang yang dieksport terus, aktiviti “transhipment”, aktiviti transit, penghantaran “door-to-door”, penghantaran makanan dan minuman melalui platform e-dagang, dan transaksi B2B.
PETALING JAYA:
Kerajaan akan menambah baik skop pengecualian cukai perkhidmatan 6% bagi sektor logistik, terutama untuk transaksi antara perniagaan (business-to-business atau B2B).

Sebelum ini, kerajaan memberi pengecualian cukai perkhidmatan untuk perkhidmatan logistik bagi barang yang dieksport terus, aktiviti “transhipment”, aktiviti transit, penghantaran “door-to-door”, penghantaran makanan dan minuman melalui platform e-dagang, dan transaksi B2B.

Kementerian Kewangan berkata Putrajaya bersetuju untuk perluas skop pengecualian B2B perkhidmatan logistik, “meliputi penyediaan perkhidmatan di bawah butiran yang sama”.

“Ini untuk mengurangkan insiden cukai berganda atau kesan melata (cascading effect) daripada pengenaan cukai atas cukai bagi beberapa lapisan rantaian bekalan logistik,” katanya dalam kenyataan.

“Sebagai contoh, dengan peluasan skop pengecualian B2B ini, penyedia perkhidmatan penghantaran fret bukan sahaja mendapat pengecualian ke atas perkhidmatan fret tetapi turut layak mendapat pengecualian ke atas perkhidmatan lain seperti penggudangan, pelabuhan, perkapalan, dan kemudahan rantaian sejuk yang berada dalam butiran sama dengan perkhidmatan fret tersebut.”

Kementerian berkata ia akan terus mengadakan libat urus dengan pihak industri terutama sektor logistik bagi memuktamadkan pindaan ke atas garis panduan.

Ia juga berkata cukai perkhidmatan 6% hanya akan dikenakan mulai 1 April 2024, bagi memberi masa kepada penyedia perkhidmatan logistik yang baharu berdaftar meminda sistem pengkomputeran mereka.

“Kementerian Kewangan berharap layanan khas yang diberikan ini dapat terus menyokong pertumbuhan sektor logistik negara dan pada masa yang sama memastikan pengguna termasuk peniaga tidak terbeban,” katanya.

Terdahulu, Persekutuan Pekilang Malaysia (FMM) gesa Putrajaya menangguhkan cukai 6% ke atas perkhidmatan logistik, dan memberi amaran kenaikan kos barang yang dijual dalam negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.