Anwar temu Presiden Steinmeier di Berlin

Anwar temu Presiden Steinmeier di Berlin

Malaysia menjadi rakan dagang Jerman terbesar di Asean.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim bertemu Presiden Jerman Frank-Walter Steinmeier, di Berlin, dalam lawatan enam hari ke negara ekonomi ketiga besar dunia itu. (Gambar AP)
BERLIN:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim bertemu dengan Presiden Frank-Walter Steinmeier bagi membincangkan hubungan dua hala Malaysia dan Jerman.

Anwar, yang tiba pada Ahad untuk lawatan rasmi enam hari beliau ke Jerman, telah disambut oleh Steinmeier di Istana Bellevue yang menempatkan Pejabat Presiden, pada kira-kira 2 petang waktu tempatan (9 malam waktu Malaysia).

Perdana menteri turut menandatangani buku tetamu sebelum memulakan mesyuarat dengan presiden itu.

Ini merupakan pertemuan kedua Anwar dan Steinmeier dalam tempoh setahun selepas Presiden Jerman itu mengadakan Lawatan Negara selama tiga hari ke Malaysia, pada Februari tahun lalu.

Anwar sebelum ini, berkata selepas pertemuan kedua-dua pemimpin di Putrajaya, Malaysia berharap untuk menjalin kerjasama dengan Jerman dalam bidang biodiversiti, ekologi, dan perubahan iklim.

Steinmeier, yang ketika itu turut berkunjung ke Pulau Pinang dan Sarawak, pula berkata Malaysia akan menjadi lokasi penting bagi syarikat-syarikat Jerman untuk mempelbagaikan perniagaan dan pelaburan mereka.

Beliau berkata, terdapat lebih 700 syarikat Jerman berpangkalan di Malaysia yang mewujudkan sejumlah 65,000 peluang pekerjaan dan terdapat peluang untuk mereka mempelbagai serta menyalurkan bekalan kepada pasaran mereka di rantau ini.

Ekonomi ketiga terbesar di dunia itu adalah rakan perdagangan terbesar Malaysia dalam kalangan negara anggota Kesatuan Eropah sejak 2000, manakala Malaysia pula merupakan rakan perdagangan terbesar bagi Jerman dalam kalangan negara anggota Asean.

Pada 2023, nilai dagangan Malaysia dengan Jerman meningkat sebanyak 5.9% kepada RM63.45 bilion (USD13.90 bilion) berbanding RM59.87 bilion (USD13.62 bilion) pada 2022.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.