PM ke Jerman bagi lawatan rasmi hingga 15 Mac

PM ke Jerman bagi lawatan rasmi hingga 15 Mac

Anwar Ibrahim akan mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatnya Canselor Jerman Olaf Scholz.

Lawatan rasmi Perdana Menteri Anwar Ibrahim dijangka mengeratkan lagi hubungan dua hala serta kerjasama pelbagai bidang  antara Putrajaya dan Berlin. (Gambar Bernama)
BERLIN:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan sulungnya ke Jerman dari 10 hingga 15 Mac ini.

Wisma Putra dalam kenyataan semalam, memaklumkan beliau disertai Menteri Luar Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz serta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Ewon Benedick.

Semasa lawatan rasmi itu, perdana menteri akan mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatnya, Canselor Jerman Olaf Scholz.

Menurut Wisma Putra, kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan kemajuan hubungan Malaysia-Jerman terutama kerjasama dalam bidang ekonomi, pendidikan, alam sekitar dan kelestarian selain bertukar pandangan mengenai isu serantau serta antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

Perdana menteri juga akan mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Jerman Frank-Walter Steinmeier.

Semasa di Berlin, perdana menteri akan menyampaikan ucapan di Yayasan Korber iaitu sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan yang memfokus kepada isu sosial dan politik serta ucaptama di SME Future Day 2024 anjuran Persatuan Perniagaan Kecil dan Sederhana Jerman (Bundesverband mittelständische Wirtschaft – BVMW).

Perdana menteri turut dijadual mengadakan pertemuan dengan kapten-kapten industri dan pelabur berpotensi dari Eropah, sesi wawancara dengan media tempatan selain menghadiri majlis berbuka puasa bersama diaspora Malaysia di Jerman.

Anwar juga akan berkunjung ke Hamburg bagi menghadiri Majlis Makan Malam Persahabatan Asia Timur ke-101 (Ostasiatisches Liebesmahl) anjuran Persatuan Perniagaan Asia Pasifik Jerman di mana beliau dijadual menyampaikan ucaptama.

Beliau juga dijangka memberikan temu bual eksklusif kepada agensi akhbar Jerman.

Menurut Wisma Putra, lawatan rasmi perdana menteri itu dijangka mengeratkan lagi hubungan dua hala serta kerjasama pelbagai bidang  antara Putrajaya dan Berlin.

Jerman adalah rakan perdagangan terbesar Malaysia dalam kalangan negara anggota Kesatuan Eropah sejak 2000 manakala Malaysia merupakan rakan perdagangan terbesar Jerman dalam kalangan negara anggota Asean

Pada 2023, nilai dagangan Malaysia dengan Jerman meningkat sebanyak 5.9% kepada RM63.45 bilion (USD13.90 bilion) berbanding RM59.87 bilion (USD13.62 bilion).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.