NGO gesa hapus kad media keluaran kerajaan

NGO gesa hapus kad media keluaran kerajaan

Pengarah Eksekutif CIJ Wathshlah Naidu berkata kad akreditasi media mewujudkan budaya ketakutan kerana ada risiko ia ditarik balik.

Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) berkata kad media keluaran kerajaan boleh digunakan sebagai alat terhadap media untuk menyekat akses. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) menggesa kad akreditasi media keluaran kerajaan dihapuskan secara berperingkat, sambil mendakwa ia bertindak sebagai alat untuk penapisan dan sekatan kebebasan.

Pengarah Eksekutif CIJ, Wathshlah Naidu, berkata kad itu memberi kuasa kepada kerajaan untuk menyekat akses kepada majlis rasmi seperti mesyuarat Parlimen dan sidang media menteri.

“Ia tidak boleh digunakan sebagai alat untuk menyekat akses. Kerajaan benar-benar perlu melakukan lebih banyak lagi bagi membolehkan persekitaran yang mantap untuk media berfungsi,” katanya kepada FMT.

Katanya, kad media juga mewujudkan budaya ketakutan dalam kalangan wartawan kerana ada risiko ia akan dibatalkan jika kerajaan tidak menyukai liputan aktivitinya atau pemberita gagal mematuhi kod etika ditetapkan.

Menurutnya, contoh perlu diambil dari negara seperti Indonesia, yang menghapuskan kad media secara berperingkat, dan mempunyai undang-undang akhbar melindungi hak media.

Wathshlah berkata, tiada undang-undang seperti itu wujud di Malaysia sebaliknya, terdapat peraturan untuk menyekat media, seperti Akta Rahsia Rasmi, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta Hasutan 1948.

“Kita perlu kerajaan yang memikirkan reformasi dengan cara lebih luas. Ia mestilah mengenai melindungi kebebasan media kerana dengan berbuat demikian, anda sebenarnya menegakkan hak asasi orang ramai untuk mengakses pelbagai bentuk pendapat dan maklumat,” katanya.

Jurucakap Gerakan Media Merdeka, Radzi Razak, berkata akreditasi media boleh dalam pelbagai bentuk seperti kad keluaran syarikat. Bagaimanapun, akreditasi harus dikawal majlis media dikendalikan kakitangan media dan pihak berkepentingan termasuk wartawan, editor, pekerja media, pemilik dan masyarakat sivil.

“Menjadi kebiasaan bagi negara yang mempunyai majlis media untuk mengambil bahagian dalam akreditasi media untuk menegakkan standard kewartawanan dalam negara,” katanya.

Katanya, akreditasi media di negara yang dikawal selia kerajaan biasanya terdedah kepada penyalahgunaan kuasa.

Selasa lalu, Malaysiakini melaporkan kerajaan mengeluarkan kad media dengan tempoh sah yang jauh lebih pendek untuk beberapa wartawan media dalam talian daripada pelbagai agensi berita.

Laporan kemudian memetik Jabatan Penerangan sebagai berkata ia sedang “mengemas kini dasar pengeluaran kad media”.

Pada Khamis, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata semakan itu tidak akan menjejaskan outlet media yang sudah lama beroperasi.

Satu kenyataan kemudian dikeluarkan Jabatan Penerangan, mengesahkan sah laku kad perakuan bagi pengamal media dalam talian yang baru berdaftar dengan Jabatan Penerangan (JaPen) dihadkan kepada enam bulan, antara lain untuk mengekang penyebaran maklumat palsu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.