Bot karam di Kapit: 3 mangsa ditemui lemas

Bot karam di Kapit: 3 mangsa ditemui lemas

Dua mangsa disahkan anggota polis Jonathan Lambert, 51, dan orang awam, Jack Balan, 45, manakala seorang lagi masih belum dikenal pasti.

Dalam kejadian Khamis lalu, bot dinaiki lima orang termasuk dua anggota polis daripada IPD Kapit yang mengiringi bahan letupan karam selepas merempuh pusaran air berdekatan Sekolah Kebangsaan Lepong Baleh.  (Gambar JBPM)
SIBU:
Tiga daripada empat mangsa yang hilang dalam tragedi bot karam di Sungai Batang Baleh, di Kapit pada Khamis lalu, ditemukan lemas dengan mayat dua daripada mereka dijumpai lebih 100km dari lokasi kejadian.

Ketua Balai Bomba Kapit, Timothy Barat berkata dua mangsa dikenali pasti sebagai anggota polis berpangkat sarjan Jonathan Lambert, 51, dan orang awam, Jack Balan, 45, manakala seorang lagi masih belum dipastikan identitinya.

“Mayat Jonathan ditemukan terapung berhampiran Terminal Bot Ekspres Kapit pada 4.02 petang dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Pistol juga masih lagi berada pada mayat mangsa ketika ditemui,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata mayat Jack pula merupakan yang pertama ditemukan oleh orang awam di perairan Pulau Kerto, Sibu, lebih 100km dari lokasi kejadian pada sekitar 11 pagi dan telah dikenal pasti oleh isteri mangsa.

Menurutnya mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sibu untuk tindakan lanjut.

Timothy berkata mayat ketiga dijumpai oleh orang awam sekitar 11 pagi di perairan berhampiran Bintangor tetapi telah terlepas ikatan dan dihanyutkan arus sungai, sebelum ditemukan semula di Batang Lebaan kira-kira 200km dari lokasi kejadian oleh pasukan polis marin kira-kira 5 petang.

Operasi mencari dan menyelamat ditangguhkan pada 6.30 petang dengan seorang lagi mangsa masih hilang.

Dalam kejadian pada 5 petang Khamis lepas, bot dinaiki lima orang termasuk dua anggota polis daripada IPD Kapit iaitu Jonathan dan Iskandar Ibrahim, karam selepas merempuh pusaran air berdekatan Sekolah Kebangsaan Lepong Baleh.

Ketika kejadian kedua-dua anggota polis itu dalam perjalanan dari Kapit ke Nanga Tulie bagi mengiringi bahan letupan seberat 35kg dengan 1050rds bahan peledak, dilaporkan untuk kegunaan kerja-kerja meletupkan batu bagi projek pembinaan jalan di kawasan Baleh.

Turut berada dalam bot itu orang awam iaitu Amerson John Nain, 47, dan Jack Balan, 45, manakala seorang lagi orang awam, Moses Ngui, 47, berjaya diselamatkan orang ramai semasa kejadian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.