Wanita perlu perkasa diri, tulang belakang masyarakat moden, kata Nancy

Wanita perlu perkasa diri, tulang belakang masyarakat moden, kata Nancy

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri berkata wanita yang mempunyai pengetahuan mencukupi mampu membawa perubahan positif pada masyarakat.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri mahu melihat wanita menjadi ‘rakyat yang berpengetahuan’.
PETALING JAYA:
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri menyeru wanita membawa perubahan positif dalam masyarakat dengan memperkasakan diri mereka.

Katanya, wanita tulang belakang masyarakat moden maka mesti melengkapkan diri dari segi kewangan dan pengetahuan mencukupi untuk memerangi dan menghapuskan semua bentuk penganiayaan dalam komuniti mereka.

Nancy secara peribadi mahu melihat wanita menjadi “rakyat yang berpengetahuan”.

“Apabila semua wanita cukup pengetahuan, dia ada kuasa untuk bertindak dan tahu apa yang boleh dilakukan apabila sesuatu berlaku pada mereka atau dalam komuniti,” katanya dalam wawancara FMT.

Menteri itu berkata, setiap wanita perlu ambil inisiatif untuk mendapatkan maklumat mengenai hak mereka serta saluran yang ada untuk mereka melaporkan penganiayaan yang mungkin berlaku dalam komuniti.

Katanya, Skuad Waja yang ditubuhkan kementeriannya pada 2021 bertujuan memberikan wanita maklumat kritikal yang boleh membantu mereka untuk menjadi pelindung komuniti.

“Kami latih mereka untuk membantu dalam komuniti. Jadi apabila sesuatu berlaku, mereka tahu siapa yang perlu dihubungi untuk membuat laporan.”

Nancy berkata, antara Januari hingga Mei 2023, Jabatan Kebajikan Masyarakat mengendalikan sejumlah 2,959 kes penderaan fizikal, seksual, dan emosi kanak-kanak.

Daripada jumlah itu, 647 kes dilaporkan di Selangor, iaitu yang tertinggi, diikuti Sabah (333), dan Kuala Lumpur (326).

Antara 2020 hingga Ogos 2023, sebanyak 22,908 kes keganasan rumah tangga dilaporkan di seluruh negara, dengan Selangor merekodkan 4,690 kes, sekali lagi yang tertinggi.

Sementara itu, Nancy berkata tanggungjawab menjaga kebajikan kanak-kanak tidak sepatutnya diletakan pada kementerian semata-mata, kerana pegawainya sudah tidak menang tangan dengan kes harian penganiayaan kanak-kanak.

“Di samping melindungi mangsa, mereka juga mengendalikan laporan polis dan membuat lawatan di lokasi.

“Mereka juga perlu menguruskan situasi apabila kes penganiayaan meningkat dan perlu menangani kejadian secara langsung. Atas sebab itu, kami tidak cukup kakitangan berbanding skala tugas yang ditangani.”

Nancy, yang menerajui kementerian itu sejak Dis 2022 berkata, beliau bersyukur kerajaan mengambil berat tentang pentingnya menangani isu penganiayaan dengan mengagihkan tugas-tugas utama kepada beberapa kementerian.

“Kita mempunyai Majlis Sosial Negara yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi, yang mengurangkan kebimbangan saya mengenai mengerakkan rakan-rakan menteri.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.