
Wan Fayhsal yang juga ketua pemuda Bersatu berkata beliau telah melantik peguam dan memasukkan kehadirannya di mahkamah pada 19 Feb lalu, susulan tuntutan dikemukakan Farhash, 22 Jan lalu.
“Pembelaan saya akan difailkan sedikit masa lagi menurut jadual waktu yang ditetapkan Mahkamah.
“Pembelaan saya akan menunjukkan tuntutan ini adalah tidak berasas sama sekali,” katanya dalam kenyataan media.
Beliau turut mendakwa saman itu sebagai cuban untuk menakutkan Ahli Parlimen pembangkang di sebalik pelbagai isu dibangkitkan mereka.
“Saya tegaskan saman ini tidak akan menjejaskan fokus dan tumpuan saya daripada terus bersuara mengenai isu-isu rakyat serta kepentingan awam,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Farhash yang juga bekas setiausaha politik Anwar Ibrahim memfailkan tuntutan RM10 juta daripada Wan Fayhsal yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah mengenainya di pekarangan Parlimen pada 14 Nov 2023.
Farhash turut mendakwa, ia memberi gambaran bahawa beliau bersekongkol dan memberi arahan kepada individu dikenali sebagai “Datuk Botak”, untuk menawarkan rasuah atau mengugut Ahli Parlimen lain bagi memperoleh sokongan untuk perdana menteri di Parlimen.
Farhash menuntut ganti rugi khas sebanyak RM10 juta dan ganti rugi pampasan, am, teruk serta teladan yang tidak dinyatakan jumlahnya daripada Wan Fayhsal
Beliau antara lain memohon perintah injunksi menghalang Wan Fayhsal atau mana-mana ejennya daripada mengulangi kenyataan berbaur fitnah itu dalam apa cara sekalipun dan memohon perintah mahkamah supaya defendan memadamkan hantaran dibuat di mana-mana laman sosial kawalannya.