
PUTRAJAYA; Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mempelawa Human Rights Watch (HRW) bertemunya susulan dakwaan berlaku penderaan dan kematian di depot tahanan imigresen.
Beliau meminta HRW memberikan angka yang tepat berhubung dakwaan itu, termasuk jumlah tahanan terlibat dan lokasi kejadian didakwa berlaku.
“Saya juga nak jemput HRW yang menyediakan laporan untuk berjumpa saya sendiri,” katanya pada sidang media di kementerian.
“Kalau boleh, (minta) mereka nyatakan (angka) yang berkaitan dengan penderaan dan kematian, siapa mangsanya, (kejadian) berlaku di depot mana, Semenyih, Tuaran atau KLIA.”
Katanya, beliau sendiri akan memulakan tindakan untuk melaksanakan siasatan segera sekiranya HRW dapat mengemukakan bukti bahawa berlaku penderaan membabitkan tahanan di depot.
“Saya tidak akan berlengah-lengah untuk segera buat siasatan. Isu tentang hak asasi ini bukan soal warga kita atau warga asing, prinsip kita adalah mempertahankan hak asasi setiap manusia.
Laporan HRW yang dikeluarkan sebelum ini mendakwa lebih 1,400 kanak-kanak ditahan di depot imigresen, dengan dua pertiga daripada mereka tidak ditemani atau dipisahkan daripada keluarga.
Laporan itu juga mendakwa tahanan di depot imigresen dinafikan rawatan perubatan dan tidak diberi makanan yang mencukupi.
Menafikan dakwaan itu, Saifuddin hari menegaskan beliau sendiri melihat bagaimana tahanan dijaga di depot imigresen, dengan pemeriksaan kesihatan dijalankan berkala dan diberikan makanan secara berjadual.
“Saya tidak tahu sama ada HRW tahu, setiap depot kita ada pegawai perubatan, pemeriksaan kesihatan dibuat berkala, makanan diberikan juga secara berjadual.
“Saya melawat sebahagian besar daripada depot imigresen dan tengok sendiri bagaimana proses itu dilakukan,” katanya.
Saifuddin berkata, pihaknya mengadakan pertemuan dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di ibu pejabatnya di Amerika Syarikat tahun lalu.
Beliau juga sedia memberikan laluan kepada wakil UNHCR untuk melihat sendiri keadaan tahanan di depot imigresen.
“Semasa pertemuan itu, kami bersetuju dengan beberapa ketetapan. Kalau UNHCR perlukan lawatan (ke depot imigresen), kami sedia buka pintu, cuma tentu ada tertib dalam prosesnya,” katanya.