LKAN 2022: PM arah Felda, LTAT sedia laporan dalam 2 minggu

LKAN 2022: PM arah Felda, LTAT sedia laporan dalam 2 minggu

Laporan LKAN 2022 menunjukkan Felda rugi RM1 bilion manakala LTAT dinasihat menstruktur semula strategi pelaburannya.

Anwar Ibrahim berkata Kabinet akan membincangkan prestasi Felda dan LTAT seperti didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2022. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Felda dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) diarahkan menyediakan penjelasan dalam tempoh dua minggu berhubung prestasinya seperti didedahkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2022.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata notis telah diberikan kepada agensi berkenaan untuk menyediakan laporan terbabit supaya tindakan susulan dapat diambil untuk memulihkan keadaan.

“Walaupun perkara ini daripada (laporan) audit 2022, tetapi kita nak tentukan ada laporan lengkap supaya beberapa kelemahan diperbaiki dan (perkara) kurang baik terpaksa kita ambil tindakan.

“Kita beri mereka notis sekurang-kurangnya dua minggu untuk kemukakan laporan penuh. Kemudian Kabinet akan berbincang mengenainya,” katanya selepas solat jumaat di Surau Amaniah IPD Putrajaya.

LKAN 2022 yang dibentang kepada umum Rabu lalu mendedahkan Felda merekodkan kerugian RM1 bilion pada 2022, hampir dua kali ganda berbanding kerugian RM545 juta yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.

Dalam laporan itu, ketua audit negara berkata Felda juga berhutang RM8.66 bilion dengan kerajaan persekutuan pada 2022, menurun sedikit berbanding RM8.8 bilion pada tahun sebelumnya.

Semalam, Felda menjelaskan kerugian itu disebabkan faktor kesan ke atas penyahiktirafan dan pengukuran semula pinjaman peneroka dengan nilaian RM339.01 juta atas tujuan meringankan bebanan warga peneroka.

Agensi itu berkata kerugian itu tidak merujuk kepada salah guna, amalan rasuah dan kelemahan tatakelola pengurusan.

LKAN 2022 turut menyatakan LTAT tidak membuat penjejasan nilai terhadap pelaburan dalam 13 anak syarikat, termasuk Boustead Holdings Bhd (BHB) dan Pharmaniaga Bhd, menyebabkan untung bersih bagi tahun ini dan pelaburan dalam syarikat subsidiari terlebih nyata berjumlah RM0.812 bilion.

LTAT mempunyai baki rizab negatif sejak 2020 dan kerugian tidak nyata berjumlah RM0.662 bilion daripada 41 portfolio saham lama.

Ketua juruaudit negara menasihatkan LTAT menstruktur semula strategi pelaburannya, meningkatkan tatakelola pengurusan pelaburan dan memastikan asas pengisytiharan dividen berdasarkan keuntungan nyata supaya tidak menjejaskan keupayaan membayar kepada pencarum layak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.