Cepat bertindak terhadap laporan gangguan seksual, kata Anwar

Cepat bertindak terhadap laporan gangguan seksual, kata Anwar

Perdana menteri berkata kes kejadian gangguan seksual yang sering dilaporkan berlaku di negara ini sangat memalukan.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata masalah gangguan seksual yang sering berlaku semakin membimbangkan kerana ia turut melibatkan kanak-kanak sebagai mangsa. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata beliau mengarahkan pihak berkuasa untuk bertindak dengan lebih tegas dan cepat terhadap laporan berkaitan ganggual seksual kerana ia satu jenayah yang memalukan negara.

Anwar berkata, masalah gangguan seksual yang sering berlaku semakin membimbangkan kerana ia turut melibatkan kanak-kanak sebagai mangsa dan pelakunya pula terdiri daripada kenalan seperti ahli keluarga atau guru mangsa sendiri.

“Kita ada undang-undang, tetapi undang-undang sahaja tidak cukup kalau penguatkuasaan tidak berkesan.

“Memalukan kalau negara Madani bicara soal nilai, akhlak tapi masih terdapat laporan and berita (gangguan seksual) yang sangat mengaibkan dan menyakitkan,” katanya ketika berucap sempena Sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2024 di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid.

Anwar berkata, beliau berharap Akta Anti Gangguan Seksual 2022 yang dikuatkuasa sepenuhnya hari ini dan tribunal anti gangguan seksual yang ditubuhkan mampu membendung kes ganggual seksual.

Akta berkenaan dikuatkuasakan secara berperingkat mulai 28 Mac tahun lalu dengan fasa pertama penguatkuasaan melibatkan advokasi gangguan seksual kepada orang awam, manakala penubuhan tribunal anti gangguan seksual melibatkan pada fasa kedua.

Pada tahun lalu, Menteri Pembangunan Wanita dan Masyarakat Nancy Shukri mendedahkan trend membimbangkan kes gangguan seksual membabitkan kanak-kanak dengan 35 kes dilaporkan pada 2022. Katanya, jumlah kes itu tidak mencerminkan situasi sebenar kerana banyak kejadian tidak dilaporkan atas sebab-sebab tertentu.

Statistik polis menunjukkan sebanayak 378 kes gangguan seksual dewasa dilaporkan pada 2020. Jumlah itu melonjak kepada 506 kes pada 2021. Pada 2022, sebanyak 477 kes gangguan seksual dilaporkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.