
Sultan Sharafuddin Idris Shah mula mempengerusikan MKI pada 10 Mac 2022 dengan tanggungjawab itu boleh diperbaharui selepas dua tahun.
Selangor Royal Office dalam kenyataan berkata, baginda menyerahkan kepada Majlis Raja-Raja untuk memilih pengerusi baharu MKI, selaras Peraturan 2(1) Peraturan-Peraturan MKI.
“Bagaimanapun, baginda tidak berhasrat menyambung tugas berkenaan dan menyerahkan kepada Majlis Raja-Raja untuk memilih seorang pengerusi baharu daripada kalangan Raja Pemerintah agar kesinambungan fungsi dan aspirasi MKI akan terus dapat dilaksanakan dengan lebih baik bawah kepimpinan pengerusi baharu,” menurut kenyataan itu.
Sultan Sharafuddin juga menzahirkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga atas komitmen semua ahli mesyuarat, serta wakil daripada semua negeri dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) selaku Sekretariat MKI.
Selangor Royal Office turut memaklumkan baginda semalam, berkenan menerima menghadap ketua pengarah Jakim merangkap Setiausaha MKI Hakimah Mohd Yusoff dan Sekretariat MKI.
Baginda turut menyemak semua minit mesyuarat yang lalu dan memastikan Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Berkaitan Kompetensi Dewan Undangan Negeri untuk menggubal undang-undang Islam yang telah ditubuhkan, menjalankan tugas diamanahkan.
Baginda menegaskan sepanjang bertindak sebagai pengerusi MKI, telah menjadi kewajipan baginda untuk sentiasa mengangkat dan mempertahankan syiar Islam di Malaysia dalam setiap keputusan dibuat secara muzakarah.