
Peguam Negara Ahmad Terrirudin Mohd Salleh, berkata notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan semalam telah difailkan hari ini.
“Sudah fail (rayuan) hari ini,” katanya kepada Bernama.
Semalam, panel tiga hakim diketuai Hakim Vazeer Alam Mydin Meera, secara sebulat suara membatalkan sabitan dan hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi di sini, pada 3 Feb 2021 selepas membenarkan rayuan bekas menteri besar Negeri Sembilan itu.
Vazeer Alam dalam penghakimannya berkata, tiada bukti boleh dipercayai menunjukkan terdapat kod perkataan “salam” antara Isa dengan bekas pegawai khasnya, Zahid Md Arip.
“Tiada bukti boleh dipercayai menunjukkan terdapat kefahaman antara perayu (Isa) dan Zahid untuk menggunakan kod perkataan itu,” kata hakim itu.
Dua lagi hakim yang turut bersidang Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim dan Hakim S M Komathy Suppiah.
Isa, 74, didakwa pada 2018 dengan sembilan pertuduhan menerima suapan untuk dirinya berjumlah RM3,090,000 daripada Ikhwan Zaidel, iaitu Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB), menerusi Zahid sebagai tanda terima kasih kerana membantu meluluskan pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) pada harga RM160 juta.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No 11, Persiaran KLCC, antara 21 Julai 2014 dan 11 Dis 2015.
Pertuduhan tersebut dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.