Goodyear struktur operasi global, bukan hanya di Shah Alam, kata Amirudin

Goodyear struktur operasi global, bukan hanya di Shah Alam, kata Amirudin

Beliau berkata syarikat pengeluar tayar itu juga tutup operasi di AS dan Eropah Timur melibatkan 1,200 pekerja.

Amirudin Shari berkata Goodyear mengambil langkah pengecilan operasi global untuk tingkat daya saing dengan Bridgestone dan Michelin. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Goodyear mula melaksanakan penstrukturan semula operasi globalnya sejak 2023, yang mana syarikat itu telah menutup beberapa kilang seperti di Amerika Syarikat (AS) selain di Shah Alam, kata Amirudin Shari (PH-Gombak).

Menyuarakan pandangannya susulan kenyataan Goodyear semalam mengumumkan penutupan kilangnya di Shah Alam pada Jun, Amirudin berkata pengeluar tayar itu juga menutup operasi di Ohio, AS, termasuk memberhentikan 1,200 pekerja di Eropah Timur dan mengecilkan operasi di Afrika dan Asia pada 2023.

Katanya, pengecilan operasi sebahagian proses penstrukturan semula perniagaan Goodyear, dengan syarikat itu mendakwa kesukaran bersaing dengan pengeluar tayar seperti Bridgestone dan Michelin.

“Saya telah membaca laporan tahunan mengapa syarikat itu tutup (sebahagian operasi) dan menyusun semula segalanya. Mereka perlu susun semula (operasi perniagaan), kos tinggi, manakala kos buruh di negara seperti Vietnam adalah rendah,” katanya yang juga menteri besar Selangor ketika perbahasan usul Titah Diraja di Dewan Rakyat.

Semalam, Presiden Goodyear Asia Pacific Nathaniel Madarang, mengumumkan penutupan kilang di Shah Alam menjejaskan 550 pekerja, namun langkah itu perlu dilaksana bagi menjajarkan semula operasi syarikat.

Kilang di Shah Alam mula beroperasi pada 1972, walaupun Goodyear telah bertapak di Malaya sejak 1929. Syarikat itu membekalkan tayar kepada Proton Saga ketika model kereta pertama negara itu mula dikeluarkan pada 1985.

Susulan pengumuman berkenaan, bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri, Rafidah Aziz menyeru kerajaan bertindak segera terhadap perkembangan berkaitan penutupan premis itu.

Rafidah berkata, kerajaan harus menghimpun maklumat menyeluruh bilangan syarikat yang telah menghentikan operasi di Malaysia dan menganalisis faktor di sebalik penutupan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.