
Tawaran awam permulaan (IPO) itu melibatkan penawaran sehingga 539 juta unit IPO yang terdiri daripada tawaran untuk jualan, mewakili sehingga 49% daripada jumlah unit dalam terbitan itu pada harga runcit 95 sen seunit.
Berdasarkan jumlah unit 1.1 bilion unit pada 95 sen seunit, permodalan pasaran Prolintas Infra BT semasa penyenaraian berpotensi mencecah RM1.045 bilion.
Penganjur amanahnya Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) dan pengurus pemegang amanah Prolintas Managers Sdn Bhd melancarkan prospektus IPO hari ini.
Pelaksanaan IPO itu merangkumi penyenaraian melalui struktur amanah perniagaan bagi empat lebuh raya utama Prolintas, iaitu, Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (Akleh), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA), dan Lebuhraya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (Lebuhraya SILK)
Pengerusi Prolintas Managers Sdn Bhd Ikmal Hijaz Hashim berkata terdapat dua hasrat di sebalik penyenaraian lebuh raya itu, iaitu untuk mempelbagaikan sumber pembiayaan Prolintas dan meletakkan syarikat terbabit untuk memulakan inisiatif infrastruktur strategik masa hadapan.
“Pada masa yang sama, ia memberikan peluang menarik kepada pelabur untuk mengambil bahagian dalam trajektori pertumbuhan berterusan Prolintas,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prolintas Mohammad Azlan Abdullah pula berkata ada rancangan untuk kenaikan tol bagi GCE, LKSA dan SILK tetapi ia tertakluk kepada semakan oleh kerajaan.
“Jika kerajaan tidak meluluskan kenaikan tol, maka mereka (kerajaan) perlu membayar pampasan,” katanya sambil menambah tiada kenaikan tol untuk Akleh.
Daripada penawaran institusi sehingga 423 juta unit IPO, 285 juta unit akan diperuntukkan kepada pelabur institusi dan terpilih, tidak termasuk pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) manakala 137 juta unit IPO dikhaskan untuk pelabur Bumiputera diluluskan oleh Miti.
Baki 45.75 juta unit IPO yang merangkumi bahagian tawaran runcit yang terdiri daripada 27.5 juta unit akan disediakan untuk dimohon orang ramai melalui pengundian diikuti oleh 18.25 juta unit untuk dimohon mereka yang layak.
Penaja jaminnya akan dikendalikan oleh AmInvestment Bank Bhd, CIMB Investment Bank Bhd, Maybank Investment Bank Bhd dan RHB Investment Bank Bhd yang bertindak sebagai penaja jamin bersama.
Tempoh permohonan IPO dibuka hari ini dan ditutup pada 12 Mac 2024.