
Dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, kutipan dana sektor swasta meningkat 8.2% kepada RM75.9 bilion, manakala dana kasar diperoleh dalam pasaran ekuiti melonjak 29% kepada RM4.3 bilion, menurut Tinjauan Ekonomi dikeluarkan hari ini.
Sebaliknya, kutipan dana sektor awam menyusut 7.7% kepada RM102.4 bilion, mencerminkan komitmen kerajaan terhadap pembaharuan fiskal.
Secara keseluruhan, dana kasar yang dikumpul dalam pasaran modal menyederhana sebanyak 1.5% kepada RM178.4 bilion sepanjang tempoh itu.
“Walaupun berdepan ketidaktentuan global, pasaran menunjukkan daya tahan apabila syarikat giat memanfaatkan pasaran ekuiti dan bon untuk membiayai pertumbuhan perniagaan, projek infrastruktur dan pelaburan strategik,” menurut laporan itu.
Bon korporat terus menjadi saluran pembiayaan fleksibel, melangkaui pinjaman bank tradisional. Dalam tujuh bulan pertama, terbitan bon korporat meningkat 7.2% kepada RM71.7 bilion.
Aktiviti pembiayaan diterajui sektor kewangan, insurans, hartanah dan perkhidmatan perniagaan menyumbang 77.3% daripada jumlah terbitan baharu.
Dana dikumpul itu disalurkan kepada modal kerja, usaha niaga baharu, pembiayaan semula dan keperluan korporat lain.
Pasaran ekuiti kukuh
Pasaran ekuiti kekal kukuh, disokong pelbagai inisiatif seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara serta pelaburan swasta dalam pusat data dan pembangunan di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Pengumpulan dana melalui tawaran awam permulaan (IPO) menjana RM4.3 bilion daripada 38 penyenaraian baharu di Bursa Malaysia dalam tujuh bulan pertama 2025.
Prestasi kukuh itu disokong program jangkauan Bursa dan penambahbaikan kawal selia yang dilaksanakan baru-baru ini.
“Secara khususnya, komitmen mempercepatkan kelulusan IPO dalam tempoh tiga bulan berjaya menarik syarikat berkualiti ke pasaran.”
Katanya, FBM KLCI mengharungi persekitaran global mencabar yang dipengaruhi tarif Amerika Syarikat (AS), ketegangan geopolitik dan pelarasan monetari serantau sejak awal tahun.
Indeks itu mula berdepan tekanan awal April lalu susulan tarif meluas dikenakan AS dan ditutup jauh lebih rendah pada 1,400.59 mata 9 April lalu. Namun, indeks penanda aras itu mencatat pemulihan kukuh dan ditutup pada 1,627.50 mata 8 Okt lalu.
Pada 2026, pasaran ekuiti negara berada di kedudukan baik untuk meraih manfaat daripada pembaharuan struktur berterusan, perbelanjaan pengguna kukuh, landskap politik stabil serta pengukuhan berterusan nilai ringgit, menurut laporan itu.