Polis KL nafi tolak notis ‘Women’s March’ 4 kali

Polis KL nafi tolak notis ‘Women’s March’ 4 kali

Ketua Polis KL Allaudeen Abdul Majid berkata, notis yang diserahkan pada Jumaat lepas dikembalikan kerana penganjur gagal melengkapkan borang.

Ketua Polis Kuala Lumpur Allaudeen Abdul Majid berkata, pihak penganjur Women’s March Malaysia akan disiasat selepas acara itu tamat.
KUALA LUMPUR:
Polis menafikan pihaknya menolak notis berhubung sebuah perhimpunan wanita sebanyak empat kali, seperti didakwa penganjur.

Ketua Polis Kuala Lumpur Allaudeen Abdul Majid berkata, kumpulan Women’s March Malaysia menyerahkan notis pada Jumaat lepas, tetapi ia dikembalikan kerana mereka dikehendaki melengkapkan borang yang mengandungi 14 soalan.

“(Notis) kali kedua, ketiga dan keempat (mereka) hantar ke mana, (kami) tak tahu. Akhirnya kita panggil (mereka semula) … tetapi borang itu (masih) tak sempurna,” katanya kepada pemberita pada sebuah program di ibu pejabat polis Kuala Lumpur.

Semalam, Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata, beliau akan menyemak semula dakwaan itu dengan IPD Dang Wangi, tetapi menegaskan bahawa notis mungkin ditolak kerana penganjur gagal memberikan semua jawapan yang diperlukan.

Pihak penganjur berkata, mereka berjaya menyerahkan notis itu semalam.

Difahamkan penganjur hanya mengisi jawapan untuk sembilan daripada 14 soalan dalam borang berkenaan. Salah satu soalan yang tidak dijawab adalah berkaitan kebenaran daripada pemilik premis atau tapak untuk digunakan sebagai lokasi perhimpunan.

Allaudeen berkata, polis masih akan memudahkan penganjuran acara itu walaupun menerima borang yang tidak lengkap, namun pihak penganjur akan disiasat selepas acara tamat.

Dalam perkembangan lain, Allaudeen berkata, polis telah merakam kenyataan enam individu berhubung perhimpunan Bersih di luar bangunan Parlimen bulan lepas.

“Semua sekali kita rakam percakapan enam individu, baki lagi 3 (untuk dirakam percakapan),” katanya.

“Selepas selesai, kita akan sempurnakan siasatan dan serah kepada timbalan pendakwa raya (di Jabatan Peguam Negara).”

Pada 27 Feb, Bersih menganjurkan perhimpunan dengan peserta berarak dari Tugu Negara ke Parlimen untuk menyerahkan memorandum menuntut kerajaan melaksanakan reformasi politik yang dijanjikan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.