
Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata, sistem itu akan membolehkan calon menjalani ujian tanpa pegawai JPJ berada di dalam kenderaan bersama mereka, dengan prestasi calon diukur menggunakan alat pengesan dan kamera.
“Keputusan akan dijana secara masa nyata sekali gus meningkatkan integriti proses penilaian,” katanya selepas lawatan kerja ke institut memandu di sini sempena pelaksanaan inisiatif eTesting.
Pembangunan sistem eTesting diumumkan pada 2022 dan JPJ sebelum ini telah mula menguji sistem berkenaan dalam projek fasa perintis di beberapa institut memandu.
Loke berkata, buat masa ini calon-calon ujian memandu diberi pilihan untuk sama ada menjalani ujian biasa atau eTesting sebelum ia dilaksanakan sepenuhnya pada 2030.
Katanya, walaupun institut memandu boleh mengenakan caj maksimum RM100, namun calon yang memilih untuk menggunakan eTesting akan menerima beberapa manfaat, termasuk boleh membuat percubaan kali kedua bagi setiap elemen ujian yang gagal pada hari yang sama tanpa kos tambahan.
Loke berkata, pelaksanaan sistem eTesting akan membolehkan lebih ramai calon diuji berbanding sistem ujian manual sedia ada, selain meningkatkan integriti sistem ujian dan memudahkan proses auditan.
Ketika ini, terdapat tiga institut memandu yang bersedia dengan pelaksanaan sistem eTesting, iaitu Institut Memandu Surfine Hitech, Hulu Langat, Selangor; Pusat Latihan Memandu Berjaya Bhd, Ulu Tiram, Johor; dan Institut Lima Bintang Abadi Sdn Bhd, Pulau Pinang.
Dalam pada itu Loke berkata, kerajaan akan mula membenarkan institut memandu membuka pusat ujian bagi mengendalikan ujian undang-undang berkomputer di premis masing-masing untuk mengurangkan masa menunggu bagi calon.
Beliau berkata, ini akan membolehkan calon mengambil ujian undang-undang berkomputer dan ujian litar di tempat yang sama.
“Namun, institut memandu yang berhasrat membuka pusat ujian undang-undang berkomputer di premis mereka disyaratkan untuk juga menawarkan eTesting bagi ujian litar,” katanya.
“Institut memandu boleh mula membuat permohonan bagi membuka Pusat Ujian KPP di premis mereka bermula April 2024. Institut memandu yang diluluskan akan diwajibkan untuk turut menyediakan sistem eTesting dalam tempoh satu tahun.”