Bangkai helikopter APMM dijangka dibawa keluar petang ini

Bangkai helikopter APMM dijangka dibawa keluar petang ini

Polis mengadakan kawalan keselamatan untuk mencegah orang awam menghampiri lokasi insiden.

Helikopter jenis AW139 kendalian APMM melakukan pendaratan cemas ketika menjalani latihan di perairan Pulau Angsa, Kuala Selangor. (Gambar Bernama)
KUALA SELANGOR:
Bangkai helikopter jenis AW139 kendalian Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang melakukan pendaratan cemas di perairan Pulau Angsa pagi tadi dijangka dibawa keluar lewat petang ini.

Timbalan Ketua Polis Kuala Selangor Mohd Ambia Nordin, berkata sehingga itu, polis melakukan pengawasan bagi memastikan keselamatan di sekitar lokasi kejadian.

“Saya telah ke lokasi kejadian dan kita menugaskan lapan anggota polis membantu APMM membuat kawalan keselamatan di lokasi kejadian.

“Kawalan keselamatan dibuat bertujuan mencegah orang awam daripada menghampiri lokasi kerana bangkai pesawat masih berada di sana dan di lokasi juga terdapat tumpahan minyak,” katanya kepada pemberita di Jeti Pasir Penambang selepas meninjau lokasi insiden.

Terdahulu, APMM mengesahkan helikopter jenis AW139 milik agensi itu melakukan pendaratan cemas ketika menjalani latihan menyelamat di perairan Pulau Angsa, Selangor pada 9.55 pagi, namun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

Pesawat yang diterbangkan oleh Tengku Mohd Nizam Tengku Zakaria turut disertai Mohamad Azrol Saidi bersama kru udara, John Ibno serta perenang penyelamat Muhamad Nurhayyat Hashim.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.