
Sultan Sallehuddin bertitah, kerajaan juga perlu menambah baik kedudukan jawatan hakim Mahkamah Syariah agar setanding sistem diguna pakai di mahkamah sivil.
“Selain aspek pembangunan dan fiskal, beta ingin memberi penekanan kepada aspek kehakiman negeri iaitu institusi Mahkamah Syariah.
“Sebagai langkah pemerkasaan, penubuhan Mahkamah Syariah hendaklah diletakkan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah sebagaimana mahkamah sivil disebut dengan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan,” titahnya menurut Berita Harian.
Baginda bertitah demikian sempena Istiadat Perasmian Pembukaan Sidang DUN Kedah bagi Mesyuarat Pertama Penggal Kedua.
Selain itu, baginda juga mahu usaha pemerkasaan berkenaan disegerakan demi memartabatkan ketinggian institusi Mahkamah Syariah di Kedah.
“Beta berpendapat tiada siapa yang akan lebih membela nasib negeri ini melainkan rakyat negeri ini sendiri.
“Pembentukan jiwa rakyat yang cintakan negeri haruslah dipupuk supaya rakyat tanpa mengira kaum yang menyandang jawatan penting tidak melupakan negeri menjadi tanah tumpah darahnya,” titahnya.
Media sebelum ini melaporkan, tujuh seksyen termaktub bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 didapati menyamai atau hampir menyamai Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 yang dibatalkan.
Dalam pada itu, Sultan Sallehuddin mengingatkan semua Adun memahami peranan hakiki mereka sebagai penggubal undang-undang supaya tidak menyimpang matlamat asal.
“Kuasa Dewan ini dalam menggubal undang-undang meliputi perkara termaktub dalam senarai negeri dan senarai bersama Perlembagaan Persekutuan.
“Untuk menjadi seorang penggubal undang-undang berwibawa, semua Ahli Dewan harus turun padang menyelami masalah rakyat dan terbuka mendengar pandangan semua pihak,” titahnya baginda.