
Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB), Zarul Ahmad Mohd Zulkifli mengakui perkara kitu ketika dirujuk pernyataannya yang direkodkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi kes membabitkan ahli perniagaan G Gnanaraja di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 2018.
Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi membenarkan permohonan Lim untuk memulakan prosiding mencabar kredibilti Zarul, selepas mendapati wujud percanggahan dalam kenyataan saksi itu kepada SPRM dengan kenyataannya di Mahkamah Sesyen di sini.
Peguam Haijan Omar yang mewakili Lim menyoal saksi itu jika beliau bersetuju baucar pembayaran dalam bentuk cek berjumlah RM2 juta bertarikh 17 Ogos 2017 sama dengan cek yang dirujuk di depan mahkamah dalam kes yang sedang dibicarakan, di mana Zarul menjawab “ya”.
Haijan: Setuju dengan saya bahawa RM2 juta ini (yang didakwa diberikan kepada Lim) sebahagian daripada RM19 juta yang kamu berikan kepada Gnanaraja?
Zarul: Ya.
Haijan: Setuju dengan saya dalam pernyataan kamu ini (kepada SPRM) kamu langsung tidak menyatakan cek RM2 juta ini untuk Lim Guan Eng?
Zarul: Pada ketika itu, ya betul.
Haijan: Setuju dengan saya dalam pemikiran kamu ketika itu, wang RM2 juta ini kamu berikan kepada Gnanaraja untuk menyelesaikan kes yang kamu hadapi dengan SPRM dan untuk mendekati bekas perdana menteri (Najib Razak).
Zarul: Saya tidak bersetuju, Yang Arif. Saya ingin beri penjelasan.
Haijan berkata, saksi itu tidak perlu berbuat demikian (memberikan penjelasan) dan hanya perlu menjawab “ya” atau “tidak”, namun Zarul yang tidak berpuas hati membalas “Jika anda beri saya kebenaran untuk menjawab, saya akan jawab”.
Azura kemudian menerangkan kepada Zarul, beliau sepatutnya menjawab bersetuju atau tidak bagi setiap soalan dikemukakan pembelaan dan boleh memberikan penjelasan lanjut ketika pemeriksaan pihak pendakwaan kelak.
Pada prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin.
Perbicaraan bersambung Rabu ini (6 Mac).
Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Lim, 63, didakwa sebagai ketua menteri Pulau Pinang, menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan RM3.3 juta, dengan membantu syarikat milik Zarul dilantik melaksanakan projek pembinaan jalan utama dan terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702.
Lim didakwa melakukan perbuatan itu antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.
Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan 10% daripada keuntungan yang akan diperoleh Zarul sebagai upah bagi membantu syarikat ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama.
Lim didakwa melakukan perbuatan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.
Beliau juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.