
Kementerian Pengangkutan berkata MyHSR Corporation Sdn Bhd (MyHSR Corp) sedang melaksanakan penilaian terhadap cadangan konsep yang diterima dan hasil penilaian akan dibawa untuk kelulusan kerajaan bagi menyenarai pendek konsortium untuk proses seterusnya, iaitu request for proposal (permintaan mengemukakan cadangan) atau RFP.
“MyHSR Corp diberi tanggungjawab untuk menjalankan proses permintaan maklumat (request for information atau RFI) yang berakhir pada 15 Jan,” kata kementerian itu menerusi jawapan yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, hari ini.
Kementerian Pengangkutan menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) yang ingin tahu adakah kerajaan akan menjamin pinjaman untuk projek yang dianggarkan menelan belanja RM100 bilion tersebut.
Menurutnya, firma atau konsortium yang berminat dimaklumkan bahawa kerajaan tidak akan beri sebarang jaminan pinjaman untuk projek ini dan berhasrat agar ia dilaksanakan melalui private fund investment (inisiatif pembiayaan swasta) atau PFI dan tanpa suntikan dana daripada kerajaan.
Menjawab soalan Azahari Hasan (PN-Padang Rengas) mengenai perincian pembinaan lima stesen Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) yang akan diteruskan semula, kementerian berkata perincian kos bagi setiap butiran masih belum dimuktamadkan.
Katanya, kerajaan masih sedang memperhalusi projek itu yang dibatalkan sebelum ini.
Peruntukan tambahan sebanyak RM 4.7 bilion bagi tujuan pengembalian skop projek LRT3 diumumkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Belanjawan 2024.