Kastam rampas 28 kereta mewah RM10 juta

Kastam rampas 28 kereta mewah RM10 juta

Kenderaan itu dirampas kerana pelbagai kesalahan antaranya pelanggaran syarat atas kemudahan pengecualian duti dan cukai serta menyimpan di kawasan tidak dilesenkan.

Pengarah Kastam Perak Abdul Ghafar Mohamad menunjukkan kenderaan dirampas pada sidang media hari ini. (Gambar Bernama)
IPOH:
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak merampas 28 kenderaan mewah yang didapati melanggar pelbagai peraturan dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini.

Pengarahnya, Abdul Ghafar Mohamad, berkata Bahagian Penguatkuasaan JKDM Perak melakukan serbuan di 12 lokasi berbeza di sekitar negeri itu dan Selangor.

Beliau berkata, kenderaan mewah dirampas antaranya Porsche, Lamborghini serta Mercedes-Benz melibatkan jumlah cukai bernilai RM10.4 juta.

“JKDM Perak juga menahan 11 individu berusia lingkungan 40 hingga 50 tahun disyaki pemilik kenderaan dan pemilik syarikat bagi membantu siasatan.

“Semua kenderaan dirampas atas pelbagai kesalahan antaranya pelanggaran syarat atas kemudahan pengecualian duti dan cukai, menyimpan kenderaan mewah di kawasan tidak dilesenkan serta mempunyai nombor kenderaan berpendaftaran di Langkawi dan berada di Semenanjung melebihi 90 hari,” katanya pada sidang media.

Ghafar berkata, pihaknya masih menyiasat sama ada semua kenderaan yang dirampas itu mempunyai permit import atau sebaliknya.

Menurutnya, kes disiasat bawah Seksyen 135(1) (d), Seksyen 133(1) (a) dan Seksyen 138 Akta Kastam 1967.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.