Bersedia hadapi cuaca lebih panas tahun depan, industri padi diberitahu

Bersedia hadapi cuaca lebih panas tahun depan, industri padi diberitahu

Menteri pertanian dan keterjaminan makanan berkata, kesan fenomena cuaca panas ketika ini menjadikan pengeluaran padi tidak memberangsangkan dan berkurangan.

Mohamad Sabu berkata, hasil padi tahun ini dijangkakan pada kadar 62% dan cuaca panas berlarutan sejak tiga tahun lalu menyebabkan pengeluaran tidak memberangsangkan.
PENDANG:
Industri tanaman padi negara perlu bersedia menghadapi kemungkinan cuaca lebih panas tahun depan, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu.

Beliau berkata, kesan fenomena cuaca panas ketika ini menjadikan pengeluaran padi tidak memberangsangkan dan berkurangan.

“Kesan cuaca panas, El Nino ini macam-macam datang sekarang ini dan panas ini pula melampau.

“Soal itu pihak Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) barangkali boleh mengkaji dari sudut jadual tanaman dan sebagainya (untuk menghadapi keadaan itu),” katanya pada Program Penuaian Padi Projek Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) Ala Sekinchan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) di Kampung Gulau di sini.

Turut hadir Pengerusi Mada, Ismail Salleh, Pengerusi Mardi, Azman Ismail dan Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang, Mahfuz Omar.

Mohamad berkata, hasil padi tahun ini dijangkakan pada kadar 62% dan cuaca panas berlarutan sejak tiga tahun lalu menyebabkan pengeluaran tidak memberangsangkan.

Tetapi, pihaknya akan terus berusaha memastikan pengeluaran padi di setiap kawasan tanaman dapat mencapai 10 tan per hektar seperti dicapai di Sekinchan, Selangor dan Lat 1,000 di Perlis.

Selain itu, pihaknya juga bercadang membuka lebih banyak kawasan tanaman padi baharu, termasuk di Johor, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak.

“Di Lat 1,000 kita dapat 10 tan lebih, di Gulau ini kita dapat tujuh tan lebih saja. Walaupun capai matlamat, tapi sasaran kita semua kawasan tanaman dapat keluar hasil lebih tujuh tan agar kita boleh eksport beras.”

Sementara itu, beliau memaklumkan kerajaan akan mengumumkan keputusan perbincangan harga beras putih tempatan pada 20 Mac ini, selepas mendengar pandangan petani serta pemegang taruh industri padi dan beras pada Khamis lalu.

Dalam pertemuan anjuran Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (Naccol) itu, katanya, kerajaan berusaha memastikan semua pihak, termasuk pengguna, pengilang dan petani berpuas hati.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.