
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Ramanan Ramakrishnan berkata, Selangor mempunyai bilangan peminjam tertinggi yang gagal membayar semula hutang, dengan 22,662 peminjam, diikuti Sabah (16,945) dan Kedah (14,823).
“Saya dimaklumkan sehingga Januari 2024, kadar tunggakan pembiayaan adalah sebanyak 12.66% di seluruh negara, manakala di Selangor, kadar tunggakan pembiayaan dicatatkan pada kadar 21.53%,” katanya pada Karnival Tekun Madani Negeri Selangor, lapor Bernama.
Sehubungan itu, Ramanan menyeru peminjam Tekun terbabit agar menyelesaikan tunggakan agar manfaat itu dapat dinikmati rakyat Malaysia lain yang memerlukan.
“Saya harap para peminjam dapat menjelaskan baki (tunggakan bayaran balik) pembiayaan mengikut jadual,” katanya.
Sejak diwujudkan pada 1998 sehingga Januari 2024, Tekun Nasional telah menyalurkan pembiayaan perniagaan kepada 574,348 orang usahawan di seluruh negara, bernilai RM9.15 bilion.
Pada majlis itu, Ramanan turut mengumumkan pembiayaan sebanyak RM65 juta untuk disalurkan kepada 4,000 usahawan informal dan mikro di Selangor oleh Tekun Nasional.
Setakat bulan lepas, katanya, pembiayaan sebanyak RM7.35 juta telah diberikan kepada 225 usahawan Tekun di Selangor.
Ramanan berkata, Tekun menyalurkan pembiayaan sehingga RM100,000 untuk tempoh sehingga 10 tahun pada kadar faedah 2 hingga 4%, jauh lebih rendah berbanding institusi pembiayaan kewangan lain.