PM umum RM1 bilion dana usahawan Bumiputera baharu

PM umum RM1 bilion dana usahawan Bumiputera baharu

Perdana menteri berkata, kegagalan melahirkan usahawan dalam kelompok itu adalah kelemahan terbesar agenda pemerkasaan Bumiputera sebelum ini.

Anwar Ibrahim berkata, dana RM1 bilion akan diuruskan syarikat berkaitan kerajaan bagi melahirkan generasi baharu usahawan Bumiputera.
PUTRAJAYA:
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengumumkan dana permulaan RM1 bilion bagi melahirkan generasi baharu usahawan Bumiputera.

Katanya, kegagalan melahirkan usahawan dalam kelompok itu adalah kelemahan terbesar agenda pemerkasaan Bumiputera sebelum ini.

“Kelemahan terbesar agenda Bumiputera adalah generasi baharu usahawan Bumiputera…kita mesti mampu melahirkan usahawan Bumiputera yang berjaya tembusi pasaran global.

“Begitu juga usahawan muda yang ramai, sebaik mereka ada petanda keupayaan untuk maju, mesti beri segala dukungan seperti disaksikan dalam kelebihan teknologi digital baharu untuk berniaga seperti Khairul Aming,” katanya dalam majlis penutup Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Beliau berkata, dana itu akan diuruskan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat berkaitan pelaburan kerajaan (GLIC).

Dana itu antara lebih RM2 bilion daripada keseluruhan peruntukan yang diumumkan Anwar dalam KEB 2024.

Turut diumumkannya ialah RM1 bilion untuk dana pembiayaan kredit mikro Bumiputera melalui institusi seperti BSN, Tekun Nasional dan Agrobank untuk pelbagai segmen usahawan Bumiputera, khasnya wanita, belia dan pesara tentera.

Selain itu, Anwar mengumumkan 50 ekar tanah kerajaan di Bandar Malaysia dikekalkan sebagai tanah rizab Melayu.

Menteri kewangan itu menyasarkan keluasan tanah rizab Melayu di bandar akan bertambah kepada 200 ekar dalam tempoh setahun.

Beliau turut mengumumkan 200 pemain industri TVET akan melatih 100,000 pelatih daripada pelbagai kaum, namun majoritinya dalam kalangan Bumiputera untuk membolehkan mereka meraih gaji sekitar RM3,500 sebulan.

Dana RM100 juta turut disediakan bagi penubuhan Dana Wakaf Mara Madani dengan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menawarkan diri sebagai penaung.

Dalam tempoh dua tahun, Anwar mengharapkan dana itu mampu berkembang sehingga RM1 bilion.

Bagi pembangunan vendor tempatan, beliau mengumumkan tabung geran padanan RM100 juta untuk syarikat kecil.

“Syarikat kecil ini kadangkala rasa mereka terbiar dan tersisih daripada arus perdana dan tumpuan kongres seperti ini, bila maksudkan vendor, kita rangkul syarikat kecil.”

Katanya, kerajaan bersetuju mewujudkan Suruhanjaya Pekerja Gig bagi melindungi hak pekerja gig seramai 1.12 juta orang, khasnya dari segi keperluan perlindungan sosial, pertikaian kontrak serta kemajuan kerjaya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.