
Amir memberitahu FMT, pemilihan parti sepatutnya diadakan pada 2025 tetapi diawalkan kepada akhir tahun ini.
“Menurut Jabatan Pendaftar Pertubuhan, tarikh akhir untuk kami mengadakan pemilihan adalah pada tahun depan,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, parti perlu mengambil beberapa langkah sebelum pemilihan dapat diadakan, termasuk menapis sistem keahlian.
“Kami sedang membangunkan satu sistem (yang lebih baik), yang kami harap akan selesai pada hujung Mac.
“Sebelum ini, sesiapa sahaja boleh menjadi ahli. Sekarang kami mahu lebih teratur,” katanya sambil menambah, semua jawatan termasuk presiden terbuka untuk ditandingi semua ahli.
Tahun lepas, FMT melaporkan ramai ahli Muda mengadu mereka berada dalam keadaan tertanya-tanya kerana tidak tahu hala tuju dan perlembagaan parti.
Menurut ahli-ahli itu, akar umbi juga tidak dimaklumkan mengenai keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan parti.
“Mereka tidak berkongsi hasil mesyuarat mereka dengan ahli. Seolah-olah parti itu milik segelintir sahaja. Selebihnya kami dibiarkan tanpa dimaklumkan apa-apa,” kata sumber dalam parti.
Danial Jafri, antara ahli Muda yang tidak puas hati, menggesa pemilihan parti diadakan bagi menggantikan kepimpinan sedia ada selepas parti itu kalah semua 19 kerusi pada PRN enam negeri tahun lepas.