Kawasan perumahan jadi penempatan Rohingya di Seremban diserbu

Kawasan perumahan jadi penempatan Rohingya di Seremban diserbu

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan Abd Khalid Othman berkata dalam operasi itu seramai 340 warga asing diperiksa dan seramai 29 ditangkap.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan Abd Khalid Othman berkata seramai 29 warga asing terdiri daripada 15 lelaki, enam wanita serta tiga kanak-kanak ditahan kerana melanggar Akta Imigresen. (Gambar Bernama)
SEREMBAN:
Polis menggempur sebuah taman perumahan di Sikamat yang menjadi penempatan warga asing dengan majoritinya terdiri daripada etnik Rohingya sejak hampir 20 tahun lalu, dalam satu operasi bersepadu malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan Abd Khalid Othman berkata dalam operasi selama kira-kira empat jam bermula 10 malam itu, sebanyak 340 individu diperiksa membabitkan 335 warga Myanmar, Indonesia (tiga) dan Bangladesh (dua).

Beliau berkata daripada jumlah itu, 29 individu berumur lingkungan 60 hingga empat tahun membabitkan 15 lelaki, enam wanita serta tiga kanak-kanak ditahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 iaitu Seksyen 6 (1) (c) kerana tiada dokumen, manakala Seksyen 15 (1) (c) akibat tinggal melebihi masa ditetapkan melibatkan tiga lelaki dan dua wanita.

“Tangkapan ini akan dibawa ke Pejabat Unit Tindakan Imigresen Senawang untuk pemeriksaan lanjut sebelum dihantar ke Depoh Tahanan Imigresen Lenggeng. Operasi kali ini lebih kepada pemeriksaan dokumen dengan kerjasama Jabatan Imigresen negeri dan Majlis Bandaraya Seremban (MBS).

“Pemeriksaan ini juga berdasarkan aduan orang ramai selain bermatlamat meluaskan kawalan terhadap warga asing. Jabatan Imigresen lakukan pemeriksaan dan maklumkan kepada kita untuk lakukan operasi besar-besaran,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata tiga kompaun turut dikeluarkan MBS atas kesalahan di bawah Seksyen 3 (1) Akta Kerajaan Tempatan iaitu menjalankan perniagaan di dalam rumah serta sitaan barangan di bawah Undang-Undang Kecil Tred dengan nilai kompaun berjumlah RM1,250.

Dalam pada itu, Khalid berkata taman perumahan berkenaan merupakan lokasi titik panas yang menjadi tumpuan warga asing terutama Rohingya di negeri ini dan pemantauan akan diteruskan untuk mengesan kemungkinan warga lain di lokasi berbeza.

“Kita tengok dalam tempoh dua ke tiga hari ini, kalau ke bandar Seremban dah tak seperti dulu yang penuh dengan warga asing, sekarang dah boleh rasa kehadiran ramai orang tempatan, jadi operasi seperti ini mungkin membantu menyelesaikan isu terbabit,” katanya.

Beliau turut tidak menolak kemungkinan bahawa lambakan warga asing di lokasi berkenaan akan mengancam keselamatan warga tempatan yang tinggal di kawasan berdekatan.

Sementara itu, beliau berkata operasi berkenaan antara lain bertujuan mengesan sekiranya terdapat saki-baki tahanan yang melarikan diri dari Depoh Imigresen Sementara Bidor, Perak baru-baru ini, tetapi pemeriksaan lanjut tidak menemukan mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.