
Bumbung usang yang selama ini menghantui kehidupan seharian mereka dalam proses penggantian selepas peruntukannya diluluskan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor.

Pengerusi Flat Seri Sementa Muhamad Jamhuri Wahudin berkongsi berita gembira itu kepada FMT yang melaporkan keluhan penduduk untuk menggantikan struktur paling asas itu.
“Sebelum raya kita semua (penghuni flat) akan merasa bumbung baharu,” katanya.
FMT sebelum ini melaporkan keluh-kesah penghuni flat ini selepas mereka menemui jalan buntu untuk mendapatkan peruntukan bagi menukar bumbung baharu.
Kos yang tinggi dan keterbatasan mengesan pemilik rumah di tingkat lima flat itu, menyebabkan bumbung semakin usang dan merisikokan penghuni di semua blok terutama ketika waktu hujan.

“Apabila rumah tiada bumbung, air akan bertakung di atas dan secara automatik meresap dalam batu dan terkena saluran wayar (elektrik). Jadi akan berlaku gangguan elektrik di rumah seseorang,” kata Jamhuri.
Bagi Salmah Saleh yang menghuni rumah di tingkat lima Blok 2, berita itu sangat dinantikannya kerana dapat menghentikan limpahan air hujan dari rumah jirannya.
“Saya sudah berhabis RM6,000 untuk ganti bumbung baharu, tetapi air yang bertakung di rumah sebelah, yang bumbungnya rosak akan melimpah masuk ke rumah saya.
“Bukan (air hujan) menitik, (tapi) macam banjir. Macam kita main air. Mencurah-curah airnya. Memang tadah mangkuk, besen, tong semua kat sini (depan pintu),” beritahunya kepada FMT.

Apa yang menimpa Salmah, turut dirasai Madzina Kamaruddin dan keluarga apabila rumahnya di tingkat dua mengalami kebocoran setiap kali hujan.
“Biasanya orang banjir dari bawah, kita banjir dari atas. (Rumah saya) tingkat dua, tapi sebab rumah di atas (tingkat 3) rumah kosong, jadi air mengalir dari tingkat lima ke rumah saya, bayangkan.
“Disebabkan air yang melalui celahan dinding bangunan, ada konkrit yang jatuh ke rumah orang lain, di tingkat bawah,” katanya yang sudah lebih 20 tahun menghuni flat itu.
Seorang lagi penghuni, Mohd Hasnawizam Nawi berkongsi rasa terujanya apabila mendapat perkhabaran bumbung yang ditunggu selama ini, menjadi kenyataan.
“Selama ini saya risau, kita ada keluarga. Takut anak-anak main suis, dengan dinding yang kerap lembab, bimbang berlaku litar pintas. Bahaya pada keselamatan anak-anak,” katanya yang baru sahaja menyewa di flat itu.
Kerja-kerja penggantian bumbung empat blok flat yang menempatkan sekurang-kurangnya 160 keluarga itu, bermula sekitar Januari lepas dan dijangka akan siap pada Mac depan.