
ADUN Sementa Daroyah Alwi berkata, beliau sudah berusaha membawa isu ini ke perhatian Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) namun belum sempat ia diputuskan, menterinya Zuraida Kamaruddin ditukarkan.
“Zuraida ditukarkan dari KPKT ke MPIC (Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia), jadi tak sempat nak bagi peruntukan khas untuk bumbung flat itu,” katanya kepada FMT.
“Saya minta MPK (Majlis Perbandaran Klang) buatkan kertas cadangan mengenai apa keperluan, apa yang rosak dan apa bajet (untuk baiki bumbung) dan saya hantar ke KPKT.
“Untuk baiki bumbung, memakan belanja yang sangat besar, lebih kurang RM1.2 juta, mengikut kiraan bajet MPK.”
Terdahulu FMT melaporkan keluhan penghuni flat itu yang bimbang kediaman lima tingkat diduduki mereka berdepan pelbagai risiko, termasuk runtuh.
Risiko itu disebabkan kerosakan bumbung yang teruk di semua empat blok flat tersebut, apabila air hujan bertakung mengalir dalam celahan dinding rumah, mengakibatkan kesan retak yang serius.
Penghuni juga terpaksa menadah air yang menitik dalam rumah setiap kali hujan turun.

Ramai ‘lawat’ namun masalah berlarutan
Pengerusi flat, Muhammad Jamuri Wahudin berkata, pihaknya sudah membuat aduan, malah banyak pihak sudah turun membuat lawatan, termasuk penyandang kerusi Parlimen Kapar terdahulu Abdullah Sani Abdul Hamid dan Daroyah sendiri, namun masalah berkenaan berlarutan sehingga kini.
Daroyah berkata, sepatutnya menjadi tanggungjawab pemilik unit flat berkenaan untuk membaiki bumbung rumah mereka.
“Flat sepatutnya diuruskan sendiri oleh pemilik dan penduduk. Tapi kita faham, penghuni pun tak ada duit. Tuan rumah di tingkat lima pun tak duduk di sana.
“Sebab itu kena minta peruntukan khas daripada KPKT. Nanti kena usulkan semula pada KPKT untuk masuk dalam bajet mereka, mungkin untuk belanjawan tahun depan. Kena mula dari awal,” katanya.
FMT turut mendapatkan reaksi Abdullah Sani berhubung isu tersebut.
“Saya dah bawa masuk ke dalam Parlimen, Hansard ada, video ada…tapi menteri (KPKT) tak buat apa. Masa itu Zuraida menterinya, beliau tak beri respons. Kuasa saya terhad, saya hanya boleh bersuara, yang bertanggungjawab (ketika itu) Zuraida. Beliau pun pernah lawat tempat tu.
“Ini projek skala besar. Semua bumbung rosak. Saya pernah perjuang tangki dan bumbung Flat Seri Perantau. Ia diluluskan dan berjaya ditambah baik. Cuma yang ini (Flat Seri Sementa) tak berjaya,” katanya.
Abdullah berkata, biarpun gagal mempertahankan kerusi Parlimennya, beliau akan perjuangkan isu ini menerusi NGO.
“Kalau saya tak berjaya (dalam PRU) saya akan berjuang guna NGO. Lagi senang nak bersuara sebab tak ada kepentingan parti”.
Flat Seri Sementa setakat ini dihuni kira-kira 160 buah keluarga.