‘Amaran’ Agong cegah ketidakstabilan politik peluang bagi Anwar, kata penganalisis

‘Amaran’ Agong cegah ketidakstabilan politik peluang bagi Anwar, kata penganalisis

Titah Agong di Dewan Rakyat mungkin dilihat sebagai jaminan bagi kerajaan semasa, namun tidak mustahil kerajaan boleh bertukar sebelum PRU16.

Titah Sultan Ibrahim di Dewan Rakyat pada Isnin dilihat sebagai jaminan agar kerajaan perpaduan boleh terus memimpin negara, peluang untuk Anwar Ibrahim melaksanakan reformasi yang dijanjikan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Para penganalisis tidak sependapat mengenai kesan amaran Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim kepada Ahli Parlimen dalam ucapan sulungnya di Parlimen.

Di Dewan Rakyat pada Isnin, Sultan Ibrahim menegaskan baginda tidak akan melayan sebarang percubaan untuk menggulingkan kerajaan perpaduan supaya kestabilan politik negara tidak terancam.

Felo Majlis Profesor Jeniri Amir berkata, mesej “tegas” Agong itu menjamin kestabilan pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Katanya, titah Sultan Ibrahim itu menjadi jaminan bahawa kerajaan perpaduan boleh terus memimpin negara, menyebutnya sebagai peluang untuk Anwar melaksanakan reformasi yang dijanjikan.

Jeniri Amir.

“Salah satu masalah utama (Anwar) adalah beliau dianggap lembap (dalam melaksanakan reformasi yang dijanjikan), atau bercanggah (dengan janji ditaburnya) ketika menjadi ketua pembangkang.

“Masa yang ada (sehingga PRU akan datang) harus digunakan sebaik mungkin, terutamanya bagi usaha menangani isu awam dan negara, serta melaksanakan reformasi untuk meletakkan negara di landasan yang tepat,” kata Jeniri kepada FMT.

Sultan Ibrahim pada Isnin memberikan amaran kepada Ahli Parlimen agar tidak menyebabkan ketidakstabilan politik. Baginda menegaskan bahawa Ahli Parlimen mesti mengutamakan usaha membela nasib rakyat berbanding kepentingan sendiri mahupun parti politik.

“Semua pihak mestilah menerima kenyataan dan hormati kerajaan perpaduan yang telah dibentuk. Kalau nak ‘main politik’ tunggu pilihan raya akan datang (PRU16),” titahnya dalam Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 di Dewan Rakyat.

Usaha Anwar untuk melaksanakan reformasi yang dijanjikannya sebagai ketua pembangkang banyak dipertikaikan sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Pada Selasa, kira-kira 100 penunjuk perasaan menyertai perhimpunan aman anjuran Bersih untuk menekan kerajaan agar melaksanakan reformasi politik.

Sementara itu, bekas Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming daripada DAP memberitahu kerajaan agar memberi tumpuan kepada mencapai hasil, bukannya sekadar “omong kosong”.

Syaza Syukri.

Bagaimanapun, Syaza Shukri daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, titah Agong itu tidak menjamin Anwar akan kekal sebagai perdana menteri sehingga PRU16.

Katanya, kuasa budi bicara Agong untuk melantik perdana menteri, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, tidak akan menghalang Ahli Parlimen daripada membentangkan usul undi tidak percaya terhadap Anwar di Parlimen.

“Kita tidak tahu apa akan jadi dalam tempoh beberapa tahun akan datang. Masih ada kemungkinan (untuk kerajaan bertukar).

“Kemungkinan itu mungkin jadi lebih tipis (susulan titah Agong), tetap tidak bermaksud ia lenyap sepenuhnya,” kata Syaza.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.