
Kawasan terbabit adalah di Kuala Lumpur, dan empat daerah di Selangor (Gombak, Hulu Langat, Petaling, serta Klang), Johor Bahru (Johor), Kinta (Perak), Timur Laut (Pulau Pinang), Kota Kinabalu (Sabah), dan Kuching (Sarawak).
Sambil menafikan dakwaan pembatalannya, Dzulkefly berkata daerah terbabit adalah kumpulan pertama pelaksanaan inisiatif untuk kumpulan B40 mendapat rawatan di klinik swasta untuk sakit ringan pada 15 Jun tahun lalu sebelum diperluaskan ke seluruh negara pada 19 Sept.
“Bermula 26 Feb 2024, SPM menumpukan operasi dengan memberi tumpuan kepada 10 daerah dalam fasa satu bagi memantapkan dan memperkemaskan lagi operasi SPM dalam mengurangkan kesesakan pesakit di fasiliti KKM, memandangkan kesesakan di fasiliti KKM daerah lain telah berkurangan.
“Bagi mencapai objektif mengurangkan kesesakan, KKM turut melaksanakan beberapa inisiatif termasuk melanjutkan perkhidmatan di klinik kesihatan dikenal pasti dan SPM diselaraskan dari semasa ke semasa berdasarkan perkembangan,” katanya ketika menjawab soalan Dr Alias Razak (PN-Kuala Nerus).
Alias meminta kerajaan menjelaskan justifikasi kerajaan membatalkan perkhidmatan SPM di klinik swasta dan hanya meneruskan perkhidmatan tersebut di 10 daerah terpilih untuk melaksanakan inisiatif menerima peruntukan RM100 juta dalam Belanjawan 2024.
Menjelaskan kekeliruan itu, Dzulkefly berkata dianggarkan RM1.7 juta dibelanjakan setiap minggu untuk program terbabit di 10 daerah dan sekitar RM12 hingga RM15 juta di seluruh negara.
“Sejumlah RM78.73 juta telah dibelanjakan setakat hari ini dan mempunyai baki RM16.2 juta.
“Kos dianggarkan untuk melaksanakannya di seluruh negara pada tahun ini adalah sekitar RM227 juta,” katanya.
Menurut Dzulkefly, KKM akan mempertimbangkan lokasi pelaksanaan SPM dan membuat keputusan berdasarkan data.
“Kita tak akan politikkan mengenai kesihatan dan akan melihat secara menyeluruh,” katanya.